kartika@mediaprima.com.my
Subang: Batik Air melancarkan empat laluan baharu yang beroperasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SZB) meliputi destinasi ke Singapura dan Jakarta bermula 8 Disember 2025, Johor Bahru (11 Disember 2025) serta Langkawi (12 Disember 2025).
Pelancaran itu turut mengukuhkan peranan Subang sebagai pintu masuk bandar yang moden dan mudah diakses pengembara Lembah Klang dan menawarkan penumpang fleksibiliti lebih besar serta pilihan alternatif selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1).
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, Subang sedang muncul pesat sebagai pintu masuk bandar yang menawarkan keselesaan, ketersambungan dan kecekapan kepada pengembara.
Katanya, pengembangan ini selaras dengan inisiatif Pelan Pemulihan Lapangan Terbang Subang (SARP) oleh kerajaan dalam mentransformasi SZB sebagai lapangan terbang bandar yang memberi manfaat kepada penumpang, komuniti setempat dan perniagaan serantau.
“Ketika Malaysia bersiap sedia menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, laluan baharu ini berperanan penting membuka lebih banyak peluang kedatangan pelawat.
“Kebolehcapaian yang dipertingkat memudahkan pengembara menikmati kepelbagaian tarikan di Malaysia, selain mengukuhkan hubungan ekonomi, aliran perdagangan dan kerjasama serantau,” katanya pada majlis pelancaran laluan baharu Batik Air, di sini, hari ini.
Pada masa ini, Batik Air mengendalikan laluan Subang ke Pulau Pinang, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching dan Bangkok.
Penambahan terbaharu itu memperkukuh rangkaian syarikat penerbangan terbabit selain meningkatkan kebolehcapaian dan kemudahan perjalanan di seluruh negara dan rantau ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, pengenalan laluan baharu itu hadir pada masa yang tepat ketika Selangor meraikan Tahun Melawat Selangor 2025.
“Dengan 6.4 juta ketibaan pelancong direkodkan sehingga suku ketiga tahun ini, sambungan tambahan, khususnya penerbangan langsung baharu ke Indonesia, pasaran pelancongan perubatan terbesar Selangor dijangka merancakkan lagi kedatangan pelancong.
“Kebolehcapaian yang dipertingkat juga menyokong pertumbuhan sektor pelayaran di Klang selain memudahkan pergerakan pelancong di Lembah Klang,” katanya.
Dalam pada itu, Batik Air turut melancarkan kempen khas ‘SAVE BIG THIS 12.12’ dengan tempoh tempahan dari 12 hingga 14 Disember 2025, manakala tempoh perjalanan bermula bulan ini hingga Jun 2026.
Pengembara digalakkan merancang percutian 2026 lebih awal menerusi tawaran menarik meliputi laluan domestik dan ASEAN.
© New Straits Times Press (M) Bhd






