New Delhi: Seorang lelaki berusia 77 tahun ditemukan maut baru-baru ini, selepas terjatuh ke dalam syaf lif kosong di sebuah kawasan perumahan di Bhopal, India, dengan mayatnya hanya ditemukan selepas hampir 10 hari, lapor MS News.
Menurut media, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada 6 Januari lalu di Chinar Dream City Society, di kawasan Misrod, apabila mangsa, Pritam Giri, keluar dari rumahnya pada waktu petang, tetapi tidak pulang.
Susulan kehilangannya itu, keluarga mangsa tampil membuat laporan orang hilang pada keesokan dan operasi pencarian bersama polis serta ahli keluarga dijalankan selama lebih seminggu.
Tidak lama kemudian, penduduk kawasan perumahan itu kemudiannya mengadu terhidu bau busuk yang kuat di kawasan lif.
Difahamkan, aduan itu juga mendorong pihak pengurusan bangunan memanggil seorang juruteknik untuk pemeriksaan pada 16 Januari lalu.
Susulan itu, juruteknik terbabit menemukan mayat mangsa di dasar syaf lif.
Sementara itu, polis berkata, keadaan mayat berada pada tahap pereputan teruk, selaras dengan tempoh berada di situ selama 10 hingga 11 hari.
Mayat kemudian dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan bedah siasat.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Tambahan, Gautam Solanki berkata, mangsa terjatuh selepas memasuki lif tanpa menyedari tiada kabin lif.
“Polis percaya lif itu tidak digunakan pada ketika kejadian dan kabin lif tiada apabila pintu terbuka,” katanya.
Pihak berkuasa kini menyoal siasat pasukan penyelenggaraan kawasan perumahan itu serta individu lain yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan bangunan selepas satu kes didaftarkan.
Keluarga mangsa dan penduduk pula, menuduh pihak pengurusan serta pasukan penyelenggaraan cuai kerana lif berkenaan sudah lama rosak dan aduan diabaikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






