Bawa anak cucu ke tempat kerja bukan perkara asing dalam tamadun Islam

Bawa anak cucu ke tempat kerja bukan perkara asing dalam tamadun Islam


TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa cucu-cucunya melawat pejabatnya baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Perdana Menteri membawa cucu-cucunya berkunjung ke pejabat adalah sebagai usaha memberi kefahaman kepada mereka tentang kesibukan tugas beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.

Bagaimanapun, ada yang memandangnya sebagai perkara yang negatif dan tidak sepatutnya dilakukan beliau.

Penulis buku Islamik dan pendidik, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil bagaimanapun menjelaskan, amalan membawa anak ke tempat kerja atau ke ruang sosial dewasa bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah tamadun Islam.

“Ia telah diamalkan Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai satu bentuk pendidikan berasaskan pengalaman langsung, bimbingan rohani dan pembentukan sahsiah.

“Dalam konteks pendidikan moden, amalan ini sejajar dengan prinsip pendidikan holistik dan inklusif.

“Inisiatif seperti Hari Membawa Anak ke Tempat Kerja diadakan bertujuan memberikan pendedahan awal kepada dunia kerjaya serta peranan sosial yang sebenar,” jelasnya di Facebooknya pada Isnin.

“Majlis seperti ini menjadi ruang untuk melatih adab, mengasah pemikiran dan membentuk keberanian melalui penyertaan aktif dalam interaksi dewasa,” jelasnya.

Ujarnya, Rasulullah SAW turut menegaskan hak dan kedudukan kanak-kanak dalam majlis seperti sabda Baginda:

“Janganlah seseorang lelaki duduk di antara seorang lelaki dan anaknya dalam satu majlis.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)

Ujarnya, hadis tersebut menunjukkan kanak-kanak bukan dianggap sebagai gangguan, bahkan diiktiraf sebagai ahli majlis yang perlu dihormati dalam tatanan sosial.

Ustaz Hasrizal turut membawakan kisah Ibnu Abbas RA yang menunjukkan bagaimana generasi muda turut diberi ruang dalam perbincangan tinggi iaitu dalam majlis para sahabat veteran Perang Badar.

“Penglibatan aktif remaja dalam ruang kepimpinan membentuk jati diri, memperkukuh kefahaman dan memupuk aspirasi sebagai pemimpin masa hadapan.

“Ibnu Abbas tidak menjadi Ibnu Abbas tanpa didahului oleh ‘mentorship’ dan pendedahan awal dunia diskusi orang dewasa dan pekerjaan mereka oleh Rasulullah SAW kepadanya,” hurainya.

Dalam sebuah kisah lain katanya, sebuah riwayat menggambarkan kasih sayang Rasulullah SAW terhadap anak yang biasa hadir ke majlisnya bersama si ayah.

“Si anak itu meninggal dunia dan si ayah tidak lagi hadir ke majlis Rasulullah SAW. Baginda menyedari akan ketidakhadiran beliau lantas menyiasat dan menziarahinya,” ujarnya.

PERKONGSIAN Perdana Menteri mengenai kunjungannya bersama cucu ke pejabat mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

PERKONGSIAN Perdana Menteri mengenai kunjungannya bersama cucu ke pejabat mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Selepas mengetahui kisah dukacita yang menimpa lelaki tersebut, Baginda SAW bersabda: “Wahai fulan, manakah yang lebih kamu sukai, anak itu hidup bersamamu sepanjang hayatmu atau apabila kamu tiba di salah satu pintu syurga esok, kamu dapati dia telah mendahuluimu dan membukakan pintu untukmu?”

Lelaki itu menjawab: “Wahai Nabi ALLAH, aku lebih suka jika dia mendahului aku dan membuka pintu syurga buatku.”

Lalu Nabi SAW bersabda: “Maka itu adalah untukmu.” (Hadis Riwayat An-Nasai)

Tambahnya, hadis ini menunjukkan kehadiran kanak-kanak dalam ruang ilmu bukan sesuatu yang asing.

“Malah mereka dikenali, dihargai dan dirindui Rasulullah SAW sendiri,” katanya.

Sangat digalakkan

Ujar Ustaz Hasrizal, amalan membawa anak ke tempat kerja atau perhimpunan dewasa dalam Islam bukan sekadar dibenarkan, malah sangat digalakkan kerana:

1 – Menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman.

2 – Membina keyakinan, adab dan kemahiran sosial.

3 – Menanam aspirasi dan kefahaman terhadap perkara sosial serta kepimpinan.

4 – Mewujudkan ruang pengiktirafan, kasih sayang dan penerimaan antara generasi.

Ujarnya, amalan membawa anak ke tempat kerja bukanlah suatu inovasi asing, tetapi satu amalan yang berakar dalam warisan kenabian yang menyeluruh.

“Ia merupakan bentuk pendidikan yang hidup dengan menyatukan ilmu, adab, kasih sayang dan aspirasi dalam satu pengalaman bermakna.

“Langkah ini wajar dilihat melangkau konteks politik sebagai satu bentuk pendidikan generasi muda tentang peranan dan amanah kepimpinanan negara,” katanya.

Dipraktikkan secara meluas pemimpin antarabangsa

Ujarnya, amalan ini turut dipraktikkan secara meluas oleh pemimpin antarabangsa seperti:

1 – Amerika Syarikat – Presiden, Joe Biden menyertai Take Your Child to Work Day di Rumah Putih, berinteraksi dengan anak-anak kakitangan serta menjawab pelbagai soalan mengenai tugas hariannya.

2 – Itali – Perdana Menteri, Giorgia Meloni membawa anak perempuannya dalam lawatan rasmi ke China, menegaskan bahawa keibuan tidak menjejaskan keupayaan profesional di peringkat antarabangsa.

3 – Kanada – Perdana Menteri, Justin Trudeau kerap membawa anak-anaknya ke acara rasmi, memberi mereka peluang melihat sendiri peranan beliau sebagai ketua negara.

ANAK-ANAK yang diberi pendedahan awal mempunyai gambaran kepada kerjaya yang bakal dipilihnya kelak.

ANAK-ANAK yang diberi pendedahan awal mempunyai gambaran kepada kerjaya yang bakal dipilihnya kelak.

Menurutnya, dari sudut nilai pendidikan, amalan ini boleh menyubur aspirasi selain memperkukuhkan hubungan.

Ujarnya, amalan ini menawarkan pelbagai manfaat pendidikan, antaranya:

1 – Pendedahan kerjaya

Kanak-kanak mendapat gambaran langsung tentang pelbagai profesion, membantu mereka membuat pilihan kerjaya dengan lebih bijak.

2 – Pembelajaran kontekstual

Pemerhatian terhadap aplikasi sebenar ilmu dalam pekerjaan meningkatkan kefahaman dan minat mereka terhadap pembelajaran.

3 – Pengukuhan hubungan keluarga

Pengalaman ini mengeratkan hubungan ibu bapa-anak, serta menanam penghargaan terhadap peranan ibu bapa.

4 – Pecahan stereotaip gender dan sosial

Pendedahan awal kepada pelbagai jenis pekerjaan membantu memecahkan stereotaip tradisional dan menggalakkan kesaksamaan.

Menurutnya, sensitiviti terhadap sentimen politik tidak seharusnya menghalang kita daripada melihat nilai pendidikan yang jelas dan objektif dalam amalan seperti ini.

“Membawa anak ke tempat kerja bukan sekadar aktiviti simbolik, tetapi suatu usaha mendidik melalui pengalaman, membina generasi yang memahami, menghargai dan berusaha untuk memikul tanggungjawab sosial secara berhemah serta bijaksana,” jelasnya.



Source link

OR

Scroll to Top