'Bawa berjuta-juta harapan, solidariti rakyat Malaysia, terus doakan kami'

'Bawa berjuta-juta harapan, solidariti rakyat Malaysia, terus doakan kami'


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kami dipilih oleh Allah SWT untuk berada di atas bot tetapi sebenarnya kita semua sama-sama dalam perjuangan ini kerana tak sanggup lagi lihat kesengsaraan menyayat hati rakyat Gaza,”

Itu titipan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Norazman Ishak menerusi siaran langsung (live) di TikTok Yayasan Amal Malaysia malam tadi dengan bot dinaikinya dikhabarkan sedang menuju ke zon kuning.

Berkongsi perkembangan pelayarannya yang sudah memasuki hari ke-17, Norazman yang juga aktivis Yayasan Amal Malaysia memaklumkan belayar dari Itali sejak 13 September lalu.

Beliau yang berada di bot Estrella memberitahu keadaan bot dinaikinya dalam keadaan baik dengan cuaca serta ombak agak tenang.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai ujian dengan kemungkinan cabaran lebih besar selepas semua bot membawa sukarelawan memasuki zon kuning, ia tidak sesekali membantutkan semangat untuk terus menuju ke perairan Gaza.

“Kami belayar dengan membawa bersama berjuta-juta harapan dan solidariti rakyat Malaysia.

“Kita boleh mengalirkan air mata setiap kali melihat video rakyat Gaza, jika dihitung, 7 Oktober depan, genap dua tahun peperangan dan penjarahan ini berlangsung, kekejaman ini yang kita mahu hentikan,” katanya.

Sesi live Yayasan Amal Malaysia itu mendapat lebih 12,000 tontonan dengan lebih 500,000 tanda suka.

Difahamkan, bot dinaiki Norazman belum melepasi zon kuning dan masih terus bergerak bersama bot lain.

Mengikut dashboard laman ‘Sumud Nusantara Flotilla Tracker’ MAPIM, antara kapal yang sudah melepasi zon kuning adalah Alma yang membawa aktivis kemanusiaan tanah air iaitu Musa Al-Nuwayri, Sul Aidil dan Iylia Balqis Suhaimi.

Selain itu, kapal Mikeno yang menempatkan selebriti, Ardell Aryana turut direkodkan sudah melepasi zon kuning.

Katanya, siri misi flotila ke-38 dan membabitkan penyertaan terbesar dunia itu tetap optimis akan dapat merentasi ujian seterusnya sebelum sampai ke perairan Gaza.

“Terus doakan kami, kami di atas kapal ini sudah diarahkan supaya tak buat hantaran media sosial yang provokatif, tapi tunjukkan ini pelayaran kemanusiaan aman.

“Kena faham maklumat seperti Facebook saya pun boleh diakses semua, jika kita hentam (misalnya Israel) ini membahayakan diri kami sendiri. Jadi terus doakan kami supaya dapat sampai dengan selamat.

“Alhamdulillah sudah beberapa hari keadaan tenang tiada serangan dron dan sebagainya, mungkin sebab ada tentera Itali dan Sepanyol yang iringi, tapi kita tak tahu bila makin hampir, apa akan berlaku,” katanya.

Pelayaran GSF yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza menjelang akhir bulan ini. Peserta terdiri daripada sukarelawan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat.

Semua sukarelawan Malaysia adalah di bawah panji Sumud Nusantara yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Untuk rekod, seramai 34 rakyat Malaysia berada di atas beberapa kapal dalam flotila itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top