Penyanyi Nabila Razali tampil menyantuni warga sekolah menerusi lawatan khas ke Sekolah Kebangsaan Taman Jasmine, Kajang, pada hari pertama sesi persekolahan dibuka, 12 Januari lalu.
Kunjungan Nabila mencuri perhatian apabila kehadirannya disambut dengan suasana ceria oleh murid, guru serta kakitangan sekolah. Lawatan itu turut dilihat sebagai suntikan motivasi buat pelajar yang baru memulakan rutin persekolahan bagi tahun akademik baharu.

Pada program tersebut, Nabila mempersembahkan lagu #BalasBaik yang membawa mesej positif tentang kebaikan, empati dan budaya saling menghargai. Nabila berharap inti pati lagu itu dapat membantu membina suasana sekolah yang lebih harmoni, selain menggalakkan pelajar membudayakan nilai murni dalam kehidupan harian.
ARTIKEL LAIN: “Kalau Kita Terlalu Baik Orang Akan Ulang Kesalahan Sama”- Nabila Razali
“Minggu pertama sekolah biasanya penuh pelbagai rasa. Ada yang teruja, ada juga yang masih menyesuaikan diri. Saya harap #BalasBaik boleh jadi satu peringatan bahawa kebaikan kecil pun ada makna besar.
“Kalau kita mula dengan sikap baik, insya-Allah hari-hari di sekolah pun jadi lebih tenang dan seronok,” katanya.

Nabila turut menyifatkan sekolah sebagai tempat terbaik untuk membentuk karakter, termasuk memupuk toleransi, rasa hormat dan kasih sayang sejak kecil.
“Bila kita biasa membalas sesuatu dengan kebaikan, suasana dalam kelas dan kawan-kawan pun akan jadi lebih positif. Itu yang saya nak sampaikan melalui lagu ini,” katanya lagi.
ARTIKEL LAIN: Nabila Razali DM Cha Eun-Woo, Ajak Kolaborasi Muzik Video Bersama
Inisiatif berkenaan sekali gus memperlihatkan usaha Nabila menggunakan platform seni sebagai medium menyebarkan mesej bermanfaat, khususnya kepada golongan muda yang sedang membina jati diri.
Program itu kemudian ditutup dengan sesi bergambar bersama murid dan guru, meninggalkan memori manis serta dorongan buat pelajar untuk memulakan tahun persekolahan dengan lebih yakin dan bersemangat.





