Pelakon cantik Mimi Lana bercerita pengalaman menjayakan beberapa babak ekstrem termasuk adegan bermandi darah semalaman ketika penggambaran filem Polong.
Menurut Mimi, filem arahan Zulkarnain Azhar itu bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal, malah turut mencabar ketahanannya dari segi emosi.
“Saya terlibat dalam babak mandi darah dari pukul 7 malam sampai 6 pagi. Darah palsu dan solekan membuatkan rambut pun jadi keras. Proses solekan ambil masa dua hingga tiga jam sebab ada adegan muka saya masih elok dan ada yang dah rosak teruk. Memang penat tapi berbaloi,” katanya.
Selain Mimi, filem Polong yang bakal menemui penonton di pawagam pada tahun hadapan ini turut dibintangi oleh Namron, June Lojong, Nadiya Nisaa dan Fad Anuar.
Katanya lagi, walaupun filem itu sarat dengan elemen seram dan keganasan, Polong tetap membawa mesej yang mendalam dan nilai tersendiri.

“Saya tak nak bercerita lebih, takut nanti saya beri ‘spoiler’, tapi ada babak yang memang ‘gore’. Namun begitu, di sebalik semua itu, cerita ni masih ada nilai kemanusiaan dan pengajaran,” ujarnya.
Mimi yang memegang watak sebagai wartawan jenayah mengakui Polong antara filem paling mencabar sepanjang kariernya.
“Dari segi visual dan mood, memang lain daripada filem yang saya pernah buat. Saya rasa macam tengah berlakon dalam produksi luar negara sebab cara kerja dan sinematografinya sangat teliti.
“Malah, filem Polong ini dirakamkan dalam dua versi, satu untuk pasaran tempatan dan satu lagi untuk tayangan festival antarabangsa,” katanya kepada XTRA.
Berkongsi pengalaman di lokasi, Mimi mendedahkan suasana penggambaran turut menambah ‘aura’ seram sebenar apabila kebanyakan adegan dirakam di kawasan flat kosong di Bukit Beruntung dan di penjara lama di Johor yang sudah ditutup.

“Kawasan itu memang menyeramkan, lebih-lebih lagi bila kita shoot pukul 3 atau 4 pagi. Kadang-kadang pelakon yang berpakaian hantu lalu depan mata pun boleh buat saya terkejut besar. Tapi Alhamdulillah, gangguan sebenar tak ada sebab semua orang jaga tutur kata dan niat,” jelasnya.
Mimi turut menceritakan suaminya, pelakon Syafiq Kyle, sempat meluahkan kebimbangan ketika dia menjalani penggambaran filem tersebut tidak lama selepas mereka berkahwin.
“Saya ada kongsi dengan Syafiq pasal cerita ni masa awal-awal shoot dulu. Dia risau juga sebab tahu filem ni seram dan kita banyak kerja malam.
“Dia pesan supaya jangan cakap bukan-bukan dan sentiasa jaga diri. Saya pun memang berhati-hati sepanjang penggambaran,” katanya.
Walaupun mencabar, Mimi tetap menganggap pengalaman ini sebagai sesuatu yang berharga.
“Saya tak pilih syarikat produksi berdasarkan populariti. Asalkan jalan ceritanya kuat dan wataknya menarik, saya akan ambil.
“Studio besar ada kekuatan komersial, tapi produksi bebas macam ni banyak bermain dengan rasa. Polong ni antara naskhah yang paling berani pernah saya buat dan saya tak sabar nak tengok hasilnya di pawagam,” katanya.
Filem Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang bergelumang dengan amalan ilmu hitam dan dosa silamnya.
Dalam usahanya mencari keampunan, dia terpaksa melepaskan polong belaan yang kemudian menuntut dendam selepas kematiannya, menyebabkan pewarisnya terpaksa menanggung sumpahan yang menggerunkan.






