‘Bayangkan jika TMJ undur diri dalam bola sepak, tentu lagi teruk’ – Presiden KLFA

‘Bayangkan jika TMJ undur diri dalam bola sepak, tentu lagi teruk’ – Presiden KLFA


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar mengharapkan semua pihak, terutamanya pemegang taruh utama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), bersatu hati menyokong usaha Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam merevolusikan landskap bola sepak negara.

Menurutnya, pemain, jurulatih, pemilik kelab, persatuan bola sepak negeri, kerajaan dan sektor swasta perlu berdiri teguh di belakang usaha baginda yang sedang membawa perubahan besar dalam ekosistem bola sepak tempatan.

Malah, beliau menyifatkan Tunku Mahkota Ismail, yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), sebagai individu yang telah mencetuskan perubahan dalam cara pengurusan bola sepak profesional di negara ini.

“Saya setuju dengan pandangan dan teguran Tunku Mahkota Ismail terhadap mentaliti pihak-pihak tertentu yang suka merendahkan bola sepak tempatan, sedangkan sebenarnya kita ada potensi besar untuk maju ke hadapan.

“Kejayaan JDT adalah bukti bahawa baginda mampu melakukan perubahan tersebut dan kita perlu membantunya ke arah yang positif,” katanya.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail meluahkan kekecewaan dan menyindir segelintir pihak yang masih memperlekehkan perubahan dalam bola sepak negara serta terus berpegang kepada mentaliti lama.

Menurut Syed Yazid, usaha baginda tidak hanya tertumpu kepada JDT, malah turut menyasarkan pemerkasaan pasukan kebangsaan dengan membawa masuk beberapa jurulatih import terbaik dan merancang untuk menambah tonggak warisan bagi memperkuatkan skuad negara.

Syed Yazid turut melontarkan persoalan yang wajar membuka mata semua pihak, khususnya jika Tunku Mahkota Ismail mengambil keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam ekosistem bola sepak negara.

“Secara peribadi, saya berpandangan bahawa kita perlu menggunakan dan memanfaatkan sebaik-baiknya inisiatif Tunku Ismail. Cuba bayangkan jika baginda tidak lagi mahu berada dalam ekosistem bola sepak negara, sudah tentu keadaan akan menjadi lebih teruk.

“Jadi bagi saya, kita perlu berubah dan menggunakan kehadiran baginda sebaik mungkin untuk bersama-sama membina sebuah ekosistem bola sepak yang kukuh sehingga berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia suatu hari nanti.

“Baginda mempunyai hubungan erat dengan pelbagai pihak, khususnya kerajaan, sektor swasta, sumber kewangan yang kukuh, kedudukan sebagai pemimpin utama dalam negara, serta jaringan luar negara yang kuat. Ini merupakan peluang yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.



Source link

OR