Bayern ‘ajar’ Chelsea

Bayern ‘ajar’ Chelsea


HARRY Kane sekali lagi membuktikan kelasnya di depan 75,000 penonton apabila penyerang berusia 32 tahun itu meledak dua gol untuk membantu Bayern Munich menewaskan Chelsea 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Allianz Arena pada Khamis.

Kane, yang berpindah ke Jerman musim lalu, membuka tirai jaringan minit ke-27 melalui sepakan penalti selepas dijatuhkan Moises Caicedo sebelum memastikan kemenangan menerusi rembatan melengkung di minit ke-63 hasil kesilapan bek kanan Blues, Malo Gusto.

Tuan rumah sebelum itu mendahului minit ke-20 apabila Trevoh Chalobah tertampan bola ke gawang sendiri selepas kelekaan barisan pertahanan Chelsea.

Bagaimanapun, anak buah Enzo Maresca bangkit seketika menerusi penyudah kemas minit ke-29, Cole Palmer ke penjuru atas gawang pada penampilan ke-100 bersama kelab.

Chelsea yang kembali ke pentas elit Eropah buat kali pertama sejak musim 2022/23, bermula dengan baik namun gagal menyudahkan deretan peluang melalui Pedro Neto, Enzo Fernandez dan Palmer yang turut melihat jaringannya dibatalkan kerana ofsaid tipis.

Ketika Blues cuba mencari gol penyamaan, barisan hadapan Bayern lebih tajam.

Peluang terhidang buat Michael Olise dan Kane terlepas, namun kesilapan Gusto akhirnya menghukum Chelsea dengan jaringan kedua Kane yang menutup terus peluang kebangkitan pelawat.

Perlawanan turut menyaksikan perbezaan ketara dari segi pengalaman penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, 39, mencatat penampilan ke-151 di Liga Juara-Juara, manakala keseluruhan skuad 24 pemain Chelsea hanya memiliki 117 penampilan sebelum sepak mula.

Menambah ironi, penyerang Nicolas Jackson yang dipinjamkan Bayern daripada Chelsea pada tarikh tutup perpindahan, hanya sempat beraksi dua minit terakhir tanpa sempat meninggalkan impak.

Bayern kini mengekalkan rekod gemilang memenangi perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara buat musim ke-22 berturut-turut, manakala Chelsea bakal berdepan Benfica di Stamford Bridge minggu depan.

Sementara itu, pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany berpuas hati dengan prestasi skuad bimbingannya yang disifatkan cukup mantap ketika menewaskan Chelsea.

“Persembahan kami sangat baik. Perlawanan berlangsung cukup intensif dan menyeronokkan untuk ditonton. Para pemain jelas menunjukkan keceriaan di atas padang,” katanya.

Kompany turut menegaskan bahawa Chelsea bukan ujian sebenar pertama buat pasukannya musim ini.

“Perlawanan menentang Tottenham pada pra-musim, selain Stuttgart dan Leipzig, sudah cukup memberikan cabaran. Chelsea tetap sebuah pasukan hebat, baru beberapa bulan lalu mereka menjuarai Piala Dunia Kelab dan berada dalam prestasi baik sebelum perlawanan ini. Namun, kami tampil lebih fokus serta bermain dengan baik,” jelasnya.

Menurut bekas kapten Manchester City itu, kunci kemenangan Bayern kali ini adalah corak permainan berintensiti tinggi.

“Tekanan tinggi kami menjadi faktor penentu kemenangan. Sudah tentu ia berisiko jika terlalu banyak kalah perebutan bola, tetapi kami berjaya melakukannya dengan baik. Kami tidak menekan hanya untuk mendapatkan semula bola, sebaliknya untuk menjaringkan gol sebaik saja ia dirampas,” tegas Kompany.

Ringkasan AI

  • HARRY Kane meledak dua gol bantu Bayern Munich kalahkan Chelsea 3-1 di Liga Juara-Juara
  • Kane menjaringkan gol pertama melalui sepakan penalti dan gol kedua dengan rembatan melengkung
  • Chelsea gagal memanfaatkan peluang, dengan beberapa cubaan dibatalkan kerana ofsaid
  • Bayern Munich mengekalkan rekod menang di perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara untuk musim ke-22 berturut-turut
  • Prestasi Bayern dipuji oleh pengendali Vincent Kompany, menekankan intensiti tinggi sebagai kunci kemenangan



Source link

OR

Scroll to Top