Bayern menang, Musiala cedera menjelang aksi bertemu Inter Milan

Bayern menang, Musiala cedera menjelang aksi bertemu Inter Milan


BAYERN Munich melakar kemenangan 3-1 ke atas Augsburg yang beraksi dengan 10 pemain dalam saingan Bundesliga Jerman, awal pagi Sabtu, sekali gus melebarkan jurang sembilan mata di hadapan Bayer Leverkusen.

Namun, kemenangan itu turut membawa khabar duka apabila pemain tengah muda, Jamal Musiala, mengalami kecederaan hanya beberapa hari sebelum aksi penting menentang Inter Milan dalam saingan Eropah.

Dalam aksi di WWK Arena itu, Dimitrios Giannoulis membuka jaringan untuk Augsburg pada minit ke-30 hasil sepakan percuma, namun Musiala menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama dengan satu penyudah menarik.

Bayern mula menguasai permainan pada separuh masa kedua. Harry Kane menambah jaringan dengan tandukan pada minit ke-66 yang menjadi gol ke-23 beliau musim ini sebelum pertahanan lawan menjaringkan gol sendiri pada masa kecederaan.

Namun, tumpuan utama terarah kepada insiden melibatkan Musiala pada minit ke-54 apabila beliau terjatuh ketika cuba menyambut hantaran tinggi dan terpaksa dikeluarkan dari padang.

“Ia kelihatan tidak begitu baik,” kata Pengarah Sukan Bayern, Max Eberl selepas perlawanan.

“Dia tidak akan beraksi Selasa ini,” tambahnya, merujuk kepada perlawanan Liga Juara-Juara bertemu Inter Milan.

Bayern kini bergelut dengan krisis kecederaan membabitkan ramai pemain utama seperti Manuel Neuer, Alphonso Davies, Dayot Upamecano, Hiroki Ito, Kingsley Coman dan Aleksander Pavlovic.

“Ia sangat mengecewakan. Kami melalui minggu yang sukar dengan beberapa pemain cedera. Mudah-mudahan ia tidak seteruk yang disangka, tetapi Musiala adalah pemain penting buat kami,” kata Kane.



Source link

OR

Scroll to Top