Abu Dhabi: Bayi lelaki berusia lima bulan mencatat sejarah sebagai penerima hati termuda di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas ibu saudaranya sanggup mendermakan sebahagian organ itu.
Menurut The National, bayi bernama Ahmed Yahya itu disahkan mengalami kegagalan hati akibat penyakit genetik jarang berlaku.
Ibu bapa Ahmed, Yahya dan Zainab Al Yassi, pernah kehilangan anak pertama mereka kerana penyakit sama.
Kali ini, nyawa Ahmed hanya dapat diselamatkan melalui pendermaan hati yang sepadan secara genetik.
Ketika masa semakin suntuk, ibu saudaranya yang berusia 36 tahun tampil untuk menjadi penderma.
Dalam pada itu, ibu saudara Ahmed, yang sebelum ini tidak pernah terfikir untuk menjadi penderma, akhirnya membuat kajian sendiri dan berbincang dengan pasukan pemindahan.
Sementara itu, doktor di Burjeel Medical City (BMC) kemudian mengesahkan Ahmed menghidap penyakit ‘ATP6AP1-related congenital disorder of glycosylation’ atau gangguan kongenital glikosilasi (CDG).
Penyakit berkenaan sangat jarang berlaku dengan kurang daripada 25 kes dikenal pasti di seluruh dunia.
Selepas pemeriksaan, ibu saudaranya disahkan sesuai dan pembedahan dilakukan pada April lalu.
Prosedur berlangsung selama 12 jam itu dianggap antara pembedahan pediatrik paling mencabar di rantau Teluk.
Doktor pula menjelaskan saluran darah bayi itu lebih halus daripada batang mancis dan sedikit kesilapan boleh meragut nyawa.
Namun, pemindahan berjaya dilakukan dan fungsi hati Ahmed kembali normal dalam beberapa hari.
Sejak program kebangsaan Hayat dilancarkan pada 2017, 1,090 pemindahan organ berjaya dilakukan di UAE.
Daripada jumlah itu, sebanyak 117 daripadanya adalah pemindahan hati pada tahun lalu.
Bapa Ahmed berkata, kisah anaknya diharap dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menjadi penderma organ.
© New Straits Times Press (M) Bhd