Bayi lemas, bot dinaiki bersama ibu bapa cari tempat perlindungan karam

Bayi lemas, bot dinaiki bersama ibu bapa cari tempat perlindungan karam


PERANCIS – Seorang bayi meninggal dunia selepas bot yang dinaiki ibu bapanya bersama imigran yang lain menuju ke United Kingdom karam di Selat Inggeris berhampiran pantai Perancis, menurut pihak berkuasa.

Penjaga pantai tempatan di Perancis berkata, kejadian itu berlaku pada malam Khamis berhampiran bandar Wissant, Perancis.

Prefektur maritim Perancis bagi Selat Inggeris dan Laut Utara berkata 65 orang telah diselamatkan dan dibawa ke pelabuhan di Boulogne-sur-Mer.

Bayi itu berusia empat bulan dan mungkin berasal dari Kurdistan Iraq, berada di atas bot bersama ibu bapanya dan dua kanak-kanak lain.

Menurut pendakwa awam di sini,Guirec Le Brac, kebanyakkan penumpang terdiri daripada warga Iran, Iraq, Albania dan Eritrea.

Satu siasatan juga telah dilancarkan pejabat pendakwa awam di Boulogne-sur-Mer.

Karam terbaru ini meningkatkan jumlah kematian migran yang cuba menyeberangi Selat Inggeris tahun ini meningkat sekurang-kurangnya 52 orang, iaitu jumlah tertinggi sejak 2018.

September lalu, enam kanak-kanak dan enam orang dewasa telah terbunuh, manakala bulan Oktober pula merekodkan empat kematian melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan tiga orang dewasa meninggal berpunca daripada bot yang padat.

Berdasarkan data Pejabat Dalam Negeri UK, jumlah purata migran yang tiba dengan bot ke sini tahun ini adalah 53 bot berbanding 13 pada tahun 2020 bersamaan yang membawa lebih 26,000 migran.

Kerajaan Perancis dan UK telah berusaha untuk menghentikan kebanjiran pencari suaka dan migran, di mana mereka mungkin membayar penyeludup ribuan euro untuk perjalanan ke UK dari Perancis menggunakan bot kecil.

Perdana Menteri baharu sayap kanan Perancis, Michel Barnier, berkata awal bulan ini bahawa negara itu memerlukan dasar imigrasi yang lebih ketat.

“Saya berjanji untuk bertindak tanpa belas kasihan terhadap penyeludup manusia, yang mengeksploitasi penderitaan mereka yang mencari tempat perlindunga terutamanya imigran tanpa dokumen yang sah untuk mengambil risiko menyeberangi Selat Inggeris dan Laut Mediterranean,” katanya.

Perdana Menteri UK, Keir Starmer pula telah mengumumkan rancangan untuk menangani kemasukan bot kecil yang menyeberang dari Perancis selepas membatalkan rancangan bekas kerajaan Konservatif untuk menghantar pencari suaka ke Rwanda.

Pada hari Khamis, pemimpin Kesatuan Eropah menyeru agar undang-undang baharu yang mendesak digubal untuk “memudahkan, meningkatkan dan mempercepatkan pemulangan” dari blok 27 negara itu.

Selepas sidang kemuncak di Brussels, para pemimpin menyeru “tindakan tegas di semua peringkat” dan menggesa Suruhanjaya Eropah untuk mencadangkan undang-undang baharu bagi menyokong usaha ini.

Kenyataan itu mencadangkan bahawa “cara baharu untuk mencegah dan melawan migrasi tidak tetap perlu dipertimbangkan”, yang mungkin merujuk kepada cadangan kontroversi untuk menubuhkan pusat pemulangan di luar EU.

Ini mengikuti pembukaan dua pusat di Albania minggu ini oleh Itali, di mana migran akan dihantar sementara permohonan suaka mereka diproses. – AGENSI



Source link

OR

Scroll to Top