BCL imbau kenangan bersama arwah Ashraf

BCL imbau kenangan bersama arwah Ashraf


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bukan sahaja mengubat kerinduan peminat selepas dua tahun tidak beraksi, konsert penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), External Love – Timeless Romance turut membawa penonton menyusuri kisah cintanya yang penuh emosi dan menyentuh hati penonton.

Seperti pada konsert 2023, Bunga sekali lagi berkongsi pemergian suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair pada 2020, adalah saat paling getir dalam hidupnya.

Kira-kira 2,000 penonton yang membanjiri Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi turut berasa emosi ketika Bunga mengimbas kenangan bersama arwah.

Ketika menyampaikan lagu Wanita Terbahagia, Bunga berkata, lagu itu adalah didedikasikan khas untuk Allahyarham Ashraf.

“Lagu Wanita Terbahagia ini saya hadiahkan kepada arwah suami. Kehadiran Ashraf dan Noah (anak) menjadikan saya wanita yang bahagia.

“Namun, hidup ini tidak seperti apa yang kita rancangkan. Saat kehilangan Ashraf adalah sangat mengejutkan saya.

“Semua perancangan kami, harus diganti di saat saya belum boleh melepaskan seorang ‘partner in crimes’ (suami),” katanya yang turut mendapat tepukan gemuruh dari penonton.

Pada konsert itu juga Bunga turut mengimbas kenangan ketika hidup bersama Allahyarham Ashraf di mana ia menjadi inspirasi buatnya menghasilkan lagu 12 Tahun Terindah.

“Selama 12 tahun saya dan Ashraf hidup bersama dan kehilangannya memberi saya inspirasi untuk menulis lagu ini.

“Pesan saya, manfaatkan sebaiknya masa bersama orang tersayang kerana kita tidak akan tahu bila mereka akan tinggalkan kita,” katanya sebelum meneruskan persembahan.

Bukan sahaja mengimbas kenangan bersama Ashraf, Bunga juga berkongsi cinta barunya selepas berkahwin dengan Tiko Aryawardhana pada 2 Disember 2023 di Bali, Indonesia.

Kata Bunga, dia bersyukur kerana Tiko menerima kehadiran keluarga arwah Ashraf dalam hidupnya begitu juga sebaliknya.

“Lagu dan video yang dipaparkan malam

ini bukan untuk menangis tetapi saya hanya mahu kongsikan perjalanan hidup dan bagaimana saya membuka lembaran baharu,” katanya.

Sementara itu, Bunga juga menghiburkan penonton menerusi 17 rangkaian lagu termasuk duet bersama artis jemputan seperti Ingkar, Selalu Ada Di Nadimu, Memulai Kembali , Kerana Ku Cinta Kau dan Cinta Sejati.

Konsert itu turut disemarakkan dengan artis jemputan iaitu Fajar Noor, Jaclyn Victor, Yuna dan Dennis Lau.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top