Beasley dakwa berdepan ketandusan bakat baharu kerana kerenah birokrasi

Beasley dakwa berdepan ketandusan bakat baharu kerana kerenah birokrasi


aida_adilah@hnetro.com.my

Kuala Lumpur: Program pembangunan berbasikal negara kini berdepan kebimbangan apabila jurulatih peringkat remaja didakwa ‘ketandusan’ bakat baharu susulan kekangan birokrasi dalam usaha pencarian bakat.

Pengarah teknikal program berbasikal negara, John Beasley berkata, situasi itu memberi kesan besar kepada kesinambungan pembangunan atlet pelapis.

Menurutnya, jurulatih pembangunan peringkat kebangsaan seolah-olah tidak diberi ruang untuk melaksanakan program pencarian bakat (TID) kerana tanggungjawab itu diserahkan sepenuhnya kepada negeri oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

“Masalah yang dihadapi jurulatih muda sekarang adalah mereka ketandusan bakat dan ini sangat merisaukan saya.

“Apabila kami mahu jalankan program TID, kami dimaklumkan ia tanggungjawab negeri.

“Tapi jika negeri tidak melaksanakan tugas itu, bagaimana kami mahu dapatkan bakat? Kita seperti berputar di tempat sama tanpa kemajuan,” katanya.

Beasley turut meluahkan kekecewaan apabila peruntukan yang disediakan untuk program pembangunan tidak dapat dimanfaatkan.

Katanya, ketika Hannah Yeoh menerajui Kementerian Belia dan Sukan, lapan jenis sukan termasuk berbasikal menerima peruntukan RM1 juta bagi mencari prospek Sukan Olimpik Brisbane 2032.

“Malangnya, kami tidak dapat menggunakan walau satu sen daripada peruntukan itu kerana perlu mengikut prosedur tertentu.

“Jika kita terus guna pendekatan sama, kita akan dapat keputusan sama,” katanya.

Menurutnya, perancangan asal adalah mengumpul data atlet muda di seluruh negeri dengan bantuan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengenal pasti potensi sebenar.

“Kami mahu turun ke negeri dengan peralatan Wattbike dan bekerjasama dengan universiti tempatan untuk mengumpul serta menganalisis data.

“Selepas itu kami sahkan prestasi mereka di trek sebelum diserahkan semula kepada negeri,” katanya.

Beasley berkata, program itu sepatutnya dimulakan di negeri yang mempunyai velodrom sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Antara negeri yang mempunyai velodrom adalah Negeri Sembilan, Johor, Terengganu dan Perak.

Namun, Velodrom Rakyat di Ipoh ketika ini tidak dapat digunakan berikutan keadaan trek kayu yang tidak selamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top