PEMILIK bersama Manchester United, Sir Ratcliffe menyifatkan beberapa pemain The Red Devils tidak cukup bagus, manakala yang lain diberikan gaji terlalu lumayan, ketika pengendali Ruben Amorim menghadapi tugas sukar untuk mengubah nasib kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.
Ratcliffe memberikan sokongan kepada Amorim, yang mengambil alih pada November lalu selepas pemecatan Erik ten Hag, walaupun pengendali dari Portugal itu bergelut untuk mengubah nasib pasukan, dengan United berada di tangga ke-14 liga.
Sejak pengurus Portugal berusia 40 tahun itu mengambil alih, United memenangi lima daripada 17 perlawanan liga dan tersingkir daripada kedua-dua piala domestik.
Beribu-ribu peminat sebelum ini membantah pemilikan kelab sebelum keputusan seri dengan Arsenal pada Isnin, dan jutawan bahan kimia British, Ratcliffe, cuba menangani kebimbangan penyokong dengan, menyatakan banyak masalah sudah wujud ketika beliau memperoleh 25 peratus kepentingan dalam kelab zaman kanak-kanaknya dan mengambil alih operasi bola sepak.
“Kita membeli Antony, kita membeli Casemiro, kita membeli (Andre) Onana, kita membeli (Rasmus) Hojlund, kita membeli (Jadon) Sancho… sama ada kita suka atau tidak, kita mewarisi perkara-perkara itu dan perlu menyelesaikannya.
“Untuk Sancho, yang kini bermain untuk Chelsea dan kita membayar separuh gajinya, kita membayar 17 juta pound (RM101 juta) untuk membelinya pada musim panas,” kata Ratcliffe.
Sancho, yang yuran perpindahannya adalah 73 juta pound (RM435 juta) ketika menyertai pada 2021, kini dipinjamkan ke Chelsea, manakala pemain sayap Antony, yang berharga 81.5 juta pound (RM485 juta), dipinjamkan ke kelab La Liga Sepanyol, Real Betis.
“Beberapa pemain tidak cukup bagus dan ada yang mungkin terlebih dibayar, tetapi bagi kita untuk membentuk skuad yang kita bertanggungjawab sepenuhnya, dan boleh dipertanggungjawabkan, akan mengambil masa,” kata Ratcliffe.
Pada masa sama Ratcliffe bersimpati dengan Amorim, mengatakan bekas jurulatih Sporting itu adalah pengurus muda yang cemerlang.
“Jika saya melihat skuad yang tersedia untuk Ruben, saya rasa dia melakukan kerja yang sangat baik, sejujurnya. Saya rasa dia akan berada di sana untuk masa yang lama.
“Anda mula melihat sekilas apa yang Ruben boleh hasilkan. Saya rasa anda melihat sekilasnya ketika menentang Arsenal,” kata Ratcliffe.
Ratcliffe, yang pembeliannya ke dalam kelab itu disambut baik penyokong United, berkata, juara Inggeris 20 kali berkenaan berada dalam tempoh transformasi dan keputusan sukar sedang dibuat.
United telah melakukan pemotongan pekerjaan musim ini dan Ratcliffe yang berusia 72 tahun itu berkata, kelab akan kehabisan wang menjelang akhir tahun jika tiada tindakan pembetulan diambil.
Beliau bagaimanapun menolak penjualan pemain muda seperti Kobbie Mainoo dan pemain sayap Alejandro Garnacho untuk membantu mengimbangi kewangan.
“Kelab itu menjadi terlalu besar, jadi kami mengurangkannya dan akan menyelesaikannya dengan organisasi yang ramping dan cekap.
“United akan kehabisan wang tunai menjelang akhir tahun ini – menjelang akhir 2025 – selepas saya memasukkan 300 juta dolar (RM1.4 bilion) dan jika kita tidak membeli pemain baharu pada musim panas.
“Ini adalah tempoh yang tidak selesa dan mengganggu dan saya bersimpati dengan peminat. Satu-satunya minat saya di sini adalah mengembalikan Manchester United ke kegemilangan semula,” katanya.
Sementara itu, Ratcliffe menyokong penuh pendirian tegas Amorim terhadap penyerang Marcus Rashford yang diketepikan daripada pasukan utama sebelum menyertai Aston Villa secara pinjaman pada Januari.
“Dia mahukan bilik persalinan yang penuh dengan orang yang komited sepenuhnya untuk memenangi perlawanan bola sepak. Dia tidak akan bertolak ansur dengan orang yang tidak mempunyai 100 peratus sikap itu. Pemain juga mesti berada dalam kotak pemikiran yang sama.
“(Rashford) telah berpindah keluar dari Manchester dan mungkin itu adalah perkara yang baik untuknya. Saya gembira dia berjaya kerana mempunyai bakat yang luar biasa, tetapi atas sebab apa pun ia tidak berjaya untuk beberapa musim lalu,” katanya.