Beberapa syarikat korporat umum batal majlis rumah terbuka

Beberapa syarikat korporat umum batal majlis rumah terbuka

Beberapa syarikat korporat umum batal majlis rumah terbuka


kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil langkah membatalkan penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun ini selaras pendekatan berhemat dalam perbelanjaan yang diumumkan kerajaan.

Antara yang mengesahkan pembatalan itu ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memaklumkan bahawa Majlis Hari Raya PNB 2026-Raikan Syawal yang dijadualkan pada 7 April ini dibatalkan.

Menurut PNB, pembatalan itu selaras dengan arahan kerajaan supaya semua agensi kerajaan, GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri bagi mengoptimumkan perbelanjaan.

Dalam masa sama, Khazanah Nasional Bhd turut membatalkan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 syarikat berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 9 April depan.

Khazanah dalam e-mel pemakluman berkenaan berkata, pihaknya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya yang bermakna dengan semangat Aidilfitri yang sebenar.

“Marilah kita luangkan sedikit masa untuk mengingati mereka yang kurang bernasib baik dan berdoa untuk keamanan, keselamatan dan kemudahan kita bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Bank Muamalat Malaysia Berhad turut memaklumkan Majlis Hari Raya Bersama Rakan Korporat yang dijadualkan berlangsung pada 6 April 2026 terpaksa dibatalkan.

Bank berkenaan dalam pemaklumannya berkata, keputusan itu dibuat susulan pengumuman kerajaan mengenai pendekatan berjimat dalam perbelanjaan.

“Pihak Bank Muamalat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian jemputan untuk menghadiri majlis ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul berikutan pembatalan ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan dan GLC/GLIC mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan kewangan lebih berdisiplin selain memberi contoh baik dalam keadaan ekonomi semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top