London: Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, mencabar pasukannya untuk “mencipta sejarah mereka sendiri” di tengah-tengah perbandingan dengan pasukan terakhir yang memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pasukan bimbingan Arne Slot itu kini mendahului dengan kelebihan enam mata di hadapan Arsenal di tempat kedua, kurang satu perlawanan menjelang perlawanan menentang West Ham awal pagi esok.
Berusaha untuk merangkul gelaran EPL pertama sejak 2020, The Reds menjadi pilihan utama untuk dinobatkan sebagai juara selepas menang 13 kali dan hanya kalah sekali dalam 17 perlawanan liga pertama mereka.
Peminat Liverpool sudah mula membincangkan sama ada pasukan sekarang ini sebaik pasukan ketika di bawah kendalian Jurgen Klopp, yang menjulang trofi empat tahun lalu untuk menamatkan kemarau 30 tahun kelab itu.
Namun, Alisson, salah seorang daripada beberapa pemain yang masih kekal dari skuad Klopp, berkata bahawa pasukan Slot layak dinilai dengan cara berbeza dan bukan dibandingkan dengan pasukan yang mencapai tiga final Liga Juara-Juara serta memenangi Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Klopp.
“Saya rasa tidak terlalu serupa, dua pasukan berbeza. Beberapa pemain masih bermain dalam pasukan tetapi kami mempunyai gaya yang sedikit berbeza sekarang, lebih banyak penguasaan bola, tampak mudah: banyak peralihan, banyak intensiti,” kata pemain Brazil itu.
“Pasukan ini sangat istimewa, kami mencapai banyak perkara hebat, ia adalah gelaran Liga Perdana pertama untuk kelab ini dalam tempoh masa yang lama. Kami juga meraih tempat ke Liga Juara-Juara bersama-sama, untuk musim sebelumnya.
“Saya percaya kami tidak perlu membandingkan diri kami dengan pasukan di masa lalu, kami perlu mencipta sejarah kami sendiri.
“Kami tidak akan melupakan perkara yang kami capaidi masa lalu kerana ia sangat istimewa dan ia akan sentiasa berada dalam sejarah kelab ini,” katanya.
Daripada 20 pemain yang diturunkan ketika kemenangan 3-1 Liverpool ke atas Leicester pada Hari Boxing, lapan daripadanya mempunyai pengalaman memenangi gelaran empat tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd