LEGENDA bola sepak England, David Beckham muncul atlet British pertama bergelar bilionair selepas kekayaannya bersama isteri, Victoria Beckham dianggarkan mencecah 1.185 bilion pound (RM6.2 bilion).
Menurut Rich List 2026 oleh Sunday Times, pasangan terkenal itu kini berada di tangga kedua individu sukan terkaya di Britain, hanya di belakang keluarga bekas ketua eksekutif Formula Satu, Bernie Ecclestone yang memiliki kekayaan sekitar 2 bilion pound (RM10.5 bilion).
Beckham yang bersara pada 2013 terus mengukuhkan empayar perniagaannya menerusi pelbagai pelaburan dan kerjasama komersial termasuk sebagai pemilik bersama Inter Miami, kelab yang kini dianggap paling bernilai dalam saingan Liga Bolasepak Utama (MLS).
Bekas kapten England itu turut menjana pendapatan lumayan menerusi kontrak penajaan bersama jenama antarabangsa seperti Adidas dan Hugo Boss.
Sepanjang kariernya, Beckham mencipta nama bersama Manchester United dengan memenangi pelbagai trofi termasuk Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sebelum beraksi bersama Real Madrid, LA Galaxy, AC Milan dan Paris Saint-Germain.
Sementara itu, Victoria pula memperkukuhkan kekayaannya menerusi jenama fesyen miliknya selepas sebelum ini terkenal sebagai anggota kumpulan pop Spice Girls.
Turut tersenarai dalam kelompok elit itu ialah juara dunia Formula Satu tujuh kali, Lewis Hamilton di tangga kelima dengan nilai kekayaan sekitar 435 juta pound (RM2.2 bilion).
Juara Masters, Rory McIlroy berada di kedudukan ketujuh dengan kekayaan 325 juta pound (RM1.7 bilion), diikuti peninju heavyweight Anthony Joshua di tangga kelapan menerusi nilai 240 juta pound (RM1.2 bilion).
Seteru utamanya, Tyson Fury pula menghuni tangga kesembilan dengan kekayaan 162 juta pound (RM853 juta).
Penyerang Bayern Munich dan England, Harry Kane berkongsi kedudukan ke-10 bersama bekas juara Wimbledon, Andy Murray selepas kedua-duanya memiliki kekayaan sekitar 110 juta pound (RM579 juta).
Dalam perkembangan lain, pemilik bersama Manchester United, Jim Ratcliffe menyaksikan nilai kekayaannya menurun sebanyak 1.85 bilion pound (RM9.7 bilion) kepada 15.194 bilion pound (RM80 bilion) susulan prestasi syarikat petrokimia miliknya, INEOS yang dilaporkan berdepan peningkatan hutang serta kerugian besar.
Pada masa sama, pasangan bapa dan anak dalam dunia promosi sukan, Barry Hearn dan Eddie Hearn turut menyertai kelompok bilionair Britain dengan kekayaan gabungan dianggarkan 1.035 bilion pound (RM5.4 bilion) menerusi syarikat Matchroom Sport.






