London: Manchester United memberi penghormatan kepada David Beckham selepas legenda kelab itu menerima gelaran kesatria (knighthood) sempena Sambutan Hari Keputeraan Raja Charles, dengan menyatakan bahawa dia “memang layak menerima penghormatan ini”.
Beckham, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-50 bulan lalu, diberi pengiktirafan itu atas sumbangannya kepada sukan dan kerja amal.
Bekas kapten England itu, yang meraih 115 penampilan antarabangsa bersama skuad The Three Lions 59 daripadanya selaku kapten, menjadi antara wajah paling dikenali di dunia sejak mula menempa nama di Old Trafford sebagai sebahagian daripada generasi emas ‘Class of 92’.
Beckham membuat penampilan sulung bersama United pada September 1992, sebelum menandatangani kontrak profesional pertamanya pada 23 Januari 1993.
Sepanjang bersama United, dia memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), dua Piala FA, dua Perisai Komuniti, Piala Antara Benua dan Liga Juara-Juara (UCL), serta menjadi sebahagian daripada skuad bersejarah yang merangkul treble pada 1999.
Dalam kenyataan di media sosial, United menyatakan secara ringkas:
“Sir David Beckham. Tahniah daripada seluruh keluarga United atas pencapaian istimewa ini, Becks, anda memang layak menerimanya.”
Beckham sendiri menyifatkan anugerah itu sebagai satu “penghormatan besar bagi dirinya.”
Dalam satu kenyataan rasmi, Beckham berkata: “Membesar di timur London bersama ibu bapa dan datuk nenek yang sangat patriotik dan bangga menjadi rakyat Britain, saya tidak pernah terfikir akan menerima satu penghormatan yang begitu besar ini.
“Bermain dan mengetuai skuad kebangsaan adalah keistimewaan terbesar dalam kerjaya saya dan benar-benar satu impian zaman kanak-kanak yang menjadi kenyataan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd