Bedah siasat jenazah Zara Qairina mesti selesai hari ini – Peguam

Bedah siasat jenazah Zara Qairina mesti selesai hari ini – Peguam


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir mesti diselesaikan hari ini juga, walaupun terpaksa diheret sehingga ke malam.

Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail berkata, setakat jam 3 petang tadi, proses bedah siasat berjalan lancar dan dijangka selesai dalam tempoh sejam setengah hingga dua jam lagi.

Katanya, jenazah akan terus dibawa ke Sipitang untuk urusan pengebumian semula sejurus proses itu tamat.

“Bedah siasat masih lagi dijalankan. Jadi mungkin akan habis dalam sejam setengah ataupun dua jam, tapi kita harap lagi awallah. Tapi terpulang kepada proses bedah siasat.

“Selepas habis, jenazah akan dibawa terus ke Sipitang untuk pengebumian semula. Hari ini juga. Kalau (selesai) malam, malamlah (jenazah dikebumikan semula),” katanya ketika ditemui media di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi perkembangan semasa proses bedah siasat jenazah arwah Zara Qairina.

Menurutnya, setakat ini proses itu berjalan baik dan dipantau oleh rakan guamannya, Shahlan Jufri di dalam bilik bedah siasat, manakala anggota polis berada di luar bilik berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top