Bedal Serbia 5-0, England buktikan kemampuan sebenar

Bedal Serbia 5-0, England buktikan kemampuan sebenar


Belgrade: Thomas Tuchel menggesa pasukan England yang dianggapnya ‘hebat’ untuk menjadikan kemenangan 5-0 ke atas Serbia sebagai penanda aras yang perlu mereka kekalkan dalam perjalanan ke Piala Dunia.

Pasukan bimbingan Tuchel akhirnya mempamerkan aksi pertama yang benar-benar meyakinkan sejak beliau mengambil alih, apabila Serbia ditundukkan dengan mudah di Belgrade.

Gol daripada Harry Kane, Noni Madueke, Ezri Konsa, Marc Guehi dan Marcus Rashford membawa England semakin hampir untuk layak ke Piala Dunia tahun depan.

The Three Lions kini berada di tangga teratas Kumpulan K selepas lima kemenangan berturut-turut, dengan 13 gol dijaringkan dan tidak bolos langsung.

Mereka hanya memerlukan maksimum lima mata daripada tiga perlawanan terakhir untuk mengesahkan tempat di kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.

Selepas dikritik kerana beberapa persembahan hambar dalam lima perlawanan pertamanya, Tuchel berasa lega apabila England akhirnya mempamerkan aksi bertenaga seperti yang dijanjikannya selepas menggantikan Gareth Southgate.

“Saya sudah katakan! Ya, anda perlu percaya dengan apa yang kami lakukan. Kami beritahu apa yang kami rasa, dan apa yang kami lihat dalam kem latihan.

“Saya tidak berbohong kepada anda. Kalau saya tidak nampak, saya akan kata kita belum sampai ke tahap itu.

“Kami hanya ada tiga minggu latihan dan itu biasanya separuh daripada pramusim. Ia ambil masa, dan di tengah-tengah ada pula minggu rehat.

“Hari ini adalah kemenangan besar menentang lawan yang sukar dalam suasana yang mencabar. Tiada sikap negatif di atas padang. Bagi saya, ia adalah kerjasama berpasukan yang paling tulen.

“Kemudian kami bermain bola sepak pada tahap tinggi. Pemain-pemain melakukannya dengan cemerlang. Segala pujian untuk mereka, mereka benar-benar menakjubkan. Itulah tahap yang perlu dicapai,” katanya.

Selepas dua kali muncul naib juara Kejohanan Eropah di bawah bimbingan Southgate, bekas jurulatih Bayern Munich dan Chelsea itu kini diberi tanggungjawab untuk membawa England meraih trofi utama pertama sejak Piala Dunia 1966.

Kemenangan hambar 2-0 ke atas pasukan kerdil Andorra di Birmingham sebelum ini menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Tuchel memaksimumkan potensi skuad berbakatnya.

Namun aksi matang mereka di Stadium Rajko Mitic yang penuh tekanan menjadi bukti bahawa Tuchel berada di landasan yang betul, meskipun ujian yang lebih sukar pasti menanti.

“Saya sangat gembira untuk pasukan dan kakitangan. Kami melalui minggu yang cemerlang dari mula hingga akhir. Kami baru sahaja membuktikan apa yang saya lihat setiap hari dalam kem latihan, dan ini benar-benar membuat saya gembira,” kata Tuchel.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top