nfazlina@nstp.com.my
Tanah Merah: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 11,635 unit beg tangan dan kasut tiruan pelbagai jenama yang diseludup dari Thailand bernilai RM3.18 juta di Jalan Ismail Petra, di sini, semalam.
Rampasan 1.30 tengah hari menerusi Op Taring Wawasan itu dilakukan Batalion 9, selepas menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati 11,635 unit kasut dan beg tangan tiruan pelbagai jenama.
Katanya, jumlah berkenaan meliputi 9,369 pasang kasut serta 1,866 unit beg tangan pelbagai jenama yang disyaki diseludup dari Thailand tanpa dokumen sah membabitkan nilai RM3.18 juta.
“Kita turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang berperanan sebagai penghantar barangan terbabit ke pasaran tempatan.
“Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagang 2019 dan suspek serta barang rampasan dibawa ke Komtak Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam serbuan kes berlainan di Kampung Macang Gacoh Meranti, Pasir Mas, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya merampas 13 lembu seludup dalam muatan sebuah lori, 2 pagi semalam.
Katanya, rampasan dilakukan Batalion 7 selepas menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati 13 ekor lembu dalam kenderaan terbabit.
“Nilai rampasan keseluruhan RM175,000 dan pihaknya menahan pemandu lori berusia 25 tahun untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd