Bekalan ikan segar di Kota Bharu masih mencukupi, namun harga naik

Bekalan ikan segar di Kota Bharu masih mencukupi, namun harga naik



am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bekalan ikan segar di sini, masih mencukupi untuk menampung keperluan pengguna setakat ini, namun harganya sedikit mahal berbanding sebelum ini.

Tinjauan di sekitar pasar basah di daerah ini mendapati bekalan pelbagai jenis ikan mengalami kenaikan harga antara RM2 hingga RM4 sekilogram.

Menurut peniaga ikan, Mariam Mat, 54, kenaikan harga ikan bermula pada akhir November lalu ketika peralihan Monsun Timur Laut (MTL) sehingga membebankan peniaga disebabkan pembekal meletakkan harga yang tinggi.

“Sejak itu, harga sekilogram ikan selayang dijual RM12 berbanding RM8 hingga RM10 sebelum ini, ikan tenggiri pula RM38 sekilogram berbanding RM36 sebelum ini, manakala ikan kembung RM18 hingga RM20 sekilogram berbanding RM16 sebelum ini.

“Bagi memenuhi permintaan pelanggan, saya mengambil bekalan ikan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong,” katanya.

Sementara itu, peniaga lain, Abd Aziz Hassan, 60, berkata, walaupun musim tengkujuh, dia dapat mengekalkan harga ikan seperti biasa disebabkan memperoleh bekalan mencukupi daripada nelayan tempatan dan juga pembekal dari dalam dan luar Kelantan.

“Memang setiap kali musim tengkujuh akan berlaku isu kenaikan harga ikan tetapi untuk tahun ini saya masih menjual pada harga biasa.

“Sejak peralihan monsun pada bulan lalu sehingga sekarang, saya masih memperoleh bekalan ikan segar seperti biasa kerana ada nelayan yang turun ke laut untuk menangkap ikan.

“Bagaimanapun, situasi ini mungkin berubah dan tidak mustahil dalam jangka masa terdekat harga ikan akan naik mendadak apabila keadaan cuaca menyukarkan nelayan turun ke laut,” katanya.

Katanya, ada ketikanya dia juga terpaksa menggunakan bekalan ikan sejuk beku bagi menampung permintaan pelanggan sepanjang musim tengkujuh.

“Bagaimanapun, ikan sejuk beku tidak menjadi pilihan pelanggan disebabkan kualitinya kurang berbanding ikan segar, namun mereka faham selain tidak ada pilihan disebabkan peralihan monsun dan terpaksa juga membelinya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top