PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak negara mencukupi sehingga Julai ini meskipun pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan akibat tekanan geopolitik dan kenaikan harga minyak mentah dunia.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, purata harga minyak mentah Brent bagi tempoh 18 hingga 22 Mei kini mencecah AS$111.67 setong, meningkat 1.7 peratus berbanding AS$109.85 pada minggu sebelumnya.
Menurut beliau, harga minyak Brent yang kekal tinggi melebihi paras AS$100 setong menyebabkan peningkatan kos pengangkutan dan harga barang, sekali gus mencerminkan pasaran tenaga global yang masih tidak menentu akibat risiko geopolitik.
“Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut dimaklumkan bahawa Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) telah memberi jaminan bahawa stok bekalan minyak negara adalah mencukupi sehingga Julai ini,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, purata harga Gas Asli Cecair (LNG) mengikut Japan Korea Marker (JKM) pula menunjukkan lonjakan 6.7 peratus daripada AS$17.86 kepada AS$19.06 MMBtu akibat tekanan permintaan serantau dan kebimbangan terhadap bekalan.
Katanya, purata harga arang batu juga meningkat secara marginal sebanyak 0.7 peratus kepada AS$132.29 satu metrik tan.
“Pasaran kekal stabil, tetapi kita tetap berwaspada kerana ia adalah nadi penjanaan elektrik kita,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pengendalian kargo harian melonjak 8.3 peratus kepada 848,900 freight weight tonnes (FWT), selain kontena meningkat 8.3 peratus kepada 93,100 TEUs setakat April lalu.
Katanya, aktiviti perdagangan maritim dan rantaian bekalan negara masih berjalan dengan baik meskipun kos penghantaran, premium insurans dan risiko gangguan laluan global meningkat.
“Bagi sektor penerbangan dilihat tekanan yang lebih ketara. Pergerakan pesawat harian April lalu merosot 31.5 peratus kepada 2,464 pesawat susulan pembatalan laluan Asia Barat.
“Manakala pengendalian kargo udara antarabangsa turut turun 14.3 peratus kepada 1,784 kilogram pada April. Begitu juga dengan kargo udara domestik menurun kepada 18 peratus kepada 420 kilogram akibat lonjakan kos bahan api dan pelarasan operasi syarikat penerbangan,” katanya.
Tambahnya, permintaan maksimum elektrik bagi tempoh minggu 18 hingga 23 Mei lalu meningkat 3.62 peratus kepada 21,319 megawatt (MW).
“Namun berada pada tahap terkawal di bawah had maksimum sistem iaitu 21,469 MW.
“Tiada peningkatan permintaan bekalan elektrik yang mendadak dan kapasiti rizab sedia ada masih mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan semasa,” katanya. – UTUSAN





