Bekas bintang EPL saman pakar bedah

Bekas bintang EPL saman pakar bedah

Bekas bintang EPL saman pakar bedah


London: Bekas pemain Liga Perdana Inggeris, Sylvan Ebanks Blake meraih kemenangan awal dalam saman kecuaian bernilai jutaan pound terhadap seorang pakar bedah sukan, selepas mahkamah memutuskan prosedur pembedahan yang dilakukan ke atasnya adalah tidak wajar.

Ebanks Blake, yang kini berusia 39 tahun, memenangi peringkat pertama kes di Mahkamah Tinggi London pada Khamis, apabila hakim memutuskan pembedahan buku lali yang dijalaninya menyebabkan kesakitan dan menjejaskan kerjayanya sebagai pemain profesional.

Bekas penyerang Wolverhampton Wanderers itu mengalami patah tulang fibula pada penghujung musim 2012-13 ketika beraksi dalam saingan Liga Kejuaraan.

Dia kemudian dirujuk kepada pakar bedah ortopedik, Dr James Calder, yang membaiki patah tulang itu dan turut melakukan pembedahan pada buku lali, kecederaan lama yang dialaminya ketika bergelar pemain akademi Manchester United pada 2005, bagi membuang tisu parut dan rawan longgar.

Ebanks Blake mendakwa pembedahan buku lali itu tidak perlu dan menyebabkan kesakitan setiap kali dia meletakkan berat badan pada sendi berkenaan.

Dia memfailkan saman yang dilaporkan menuntut pampasan sebanyak £7 juta (RM41.6 juta), dengan alasan kecuaian perubatan meragut peluangnya untuk terus beraksi pada tahap tertinggi selama lima tahun lagi.

Bagaimanapun, pihak pembelaan Calder berhujah kecederaan buku lali lama Ebanks Blake tidak dirawat dengan sempurna sebelum itu, dan pembedahan berkenaan sebenarnya memanjangkan kerjayanya yang berakhir pada 2019.

Hakim Christina Lambert memutuskan keputusan untuk melakukan pembedahan buku lali itu ‘tidak munasabah dan tidak logik’, sambil menegaskan buku lali berkenaan ‘sepatutnya dibiarkan dan dipantau sahaja’.

Beliau turut memutuskan pembedahan itu menjadi punca kepada kesakitan yang dialami Ebanks Blake, dan tanpa prosedur berkenaan, pemain itu ‘akan kembali kepada keadaan bebas sakit seperti sebelum kecederaan’.

Menurut Lambert, buku lali Ebanks Blake ‘akan kekal tanpa kesakitan untuk tempoh antara tiga hingga lima tahun, di mana dia berupaya beraksi pada tahap tinggi’.

Namun, hakim itu menambah sama ada Ebanks Blake benar-benar akan terus bermain di peringkat tertinggi untuk tempoh berkenaan adalah ‘persoalan berbeza’ yang akan ditentukan dalam perbicaraan seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top