BEKAS tonggak tengah Manchester United, Paul Scholes mendedahkan bahawa beliau sanggup mengorbankan kerjaya sebagai pengulas bola sepak demi menyesuaikan jadual hidupnya dengan keperluan anak lelakinya yang menghidap autisme.
Legenda United berusia 50 tahun itu, yang bersara pada 2013, pernah mencuba nasib dalam bidang kejurulatihan sebelum beralih menjadi penganalisis dan pengulas perlawanan.
Namun, segalanya berubah apabila beliau menyedari bahawa rutin kerja yang tidak menentu memberi kesan besar terhadap kestabilan emosi anaknya, Aiden, 20 tahun.
“Segala yang saya lakukan sekarang tertumpu kepada dia. Saya masih buat kerja di studio, tetapi semuanya diatur mengikut hari dan keperluan Aiden,” katanya dalam podcast Stick to Football.
Scholes menjelaskan, setiap perubahan kecil dalam jadual harian akan menimbulkan keresahan kepada anaknya, menyebabkan beliau terpaksa menolak banyak tawaran kerja bagi mengekalkan rutin yang stabil.
“Musim lalu, setiap malam Khamis saya bertugas mengulas aksi Liga Europa untuk Manchester United.
“Malam itu sebenarnya masa saya bersama Aiden. Dia jadi gelisah, menggigit dan mencakar sebab dia tahu corak harian kami berubah serta-merta,” ujarnya.
Scholes turut mengakui bahawa sepanjang kariernya di bawah kendalian Sir Alex Ferguson, beliau merahsiakan keadaan sebenar anaknya dan cuba menanganinya sendiri tanpa bantuan.
“Saya tak pernah dapat rehat daripada situasi itu, walaupun ketika bermain. Ia sangat sukar.
“Mereka hanya sahkan diagnosisnya ketika dia berusia dua setengah tahun, tapi kami sudah tahu lebih awal ada sesuatu yang berbeza,” katanya.
Beliau mengimbas kembali bagaimana dirinya pernah hilang fokus sejurus mengetahui keadaan anaknya.
“Saya masih ingat perlawanan menentang Derby County, saya tak mahu berada di padang. Minggu selepas itu pengurus menggugurkan saya. Saya belum beritahu sesiapa waktu itu,” ujarnya.
Beberapa minggu kemudian, Scholes akhirnya menceritakan perkara sebenar kepada pihak kelab, bukan untuk mencari simpati, tetapi kerana tidak mampu lagi memendam perasaan.
“Saya tak mahu simpati. Saya tahu walau apa pun yang saya ceritakan, ia takkan ubah keadaan Aiden. Cuma sekarang, bila umur makin meningkat, perkara yang paling saya risaukan ialah apa akan jadi kepada dia bila saya tiada nanti,” katanya.
INFO
Hari Kesedaran Autisme (2 April)
Autisme atau autism spectrum disorder (ASD) ialah keadaan perkembangan saraf yang mempengaruhi cara seseorang berkomunikasi, berinteraksi serta memahami dunia di sekelilingnya.
Keadaan ini bukan penyakit yang memerlukan rawatan ubat-ubatan atau pembedahan sebaliknya merupakan keadaan semula jadi sejak lahir.
Autistik memerlukan sokongan padu daripada ahli keluarga dan masyarakat bagi membantu mereka menyesuaikan diri serta berinteraksi dalam persekitaran umum.
Ringkasan AI
- Paul Scholes mengubah kerjaya pengulas bola sepak demi anaknya yang menghidap autisme
- Beliau berusaha menyesuaikan jadual kerjanya dengan keperluan anaknya untuk memelihara kestabilan emosi anak
- Perubahan kecil dalam rutin harian bisa mengganggu emosi anaknya, Aiden, sehingga Scholes terpaksa menolak banyak tawaran kerja
- Scholes merahsiakan keadaan anaknya semasa berkarier sebagai pemain dan mencuba menanganinya sendiri
- Beliau mengakui perasaan risau tentang masa depan anaknya ketika usia meningkat





