PUTRAJAYA: Seorang bekas guru tahfiz perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun bermula hari ini atas kesalahan melakukan amang seksual ke atas seorang murid lelaki, lima tahun lalu, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdullah Aziz turut mengekalkan sebatan 2 kali yang dikenakan ke atas Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab, 32, selepas sebulat suara menolak rayuan bekas pengajar itu.
Ketika membaca penghakiman panel terbabit, Hakim Azman berkata, keterangan mangsa adalah konsisten dan tidak bersifat rekaan semata-mata.
“Tindakan perayu itu bukan sahaja mencemarkan nama guru agama tersebut, malah memberi kesan kepada peribadi pengadu sendiri.
“Keterangan itu disokong pula oleh laporan kepada saksi pendakwaan pertama iaitu doktor yang merawat serta penilaian Hakim Mahkamah Sesyen. Ini jelas bukan satu rekaan,” katanya.
Oleh itu, sabitan salah yang dibuat Mahkamah Sesyen dan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas perayu adalah tepat.
Berhubung hukuman penjara dan sebat, panel terbabit memutuskan bahawa hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi tidak keterlaluan.
“Sepatutnya tertuduh menjadi individu yang melindungi dan mengawal daripada kejadian seperti ini berlaku, bukan sebaliknya. Justeru, hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan itu bukanlah keterlaluan,” kata Hakim Azman.
Pada 23 Disember 2020, Tengku Mohammad Khaireel didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 11 tahun ketika kejadian dalam bilik warden di sebuah asrama sekolah tahfiz di antara Januari dan Disember tahun sama.
Pada pukul 11.30 malam, 1 Disember 2020, di lokasi sama, perayu yang kini bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing didakwa mengulangi perbutannya ke atas mangsa sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Pada prosiding hari ini, Tengku Mohammad Khaireel diwakili peguam bela, Mohd. Shuhairil Ziqrul Sapi manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aznee Salmie Ahmad. – UTUSAN