Bekas juara Olimpik tertua dunia, Charles Coste meninggal dunia pada usia 101 tahun

Bekas juara Olimpik tertua dunia, Charles Coste meninggal dunia pada usia 101 tahun

Bekas juara Olimpik tertua dunia, Charles Coste meninggal dunia pada usia 101 tahun


Paris: Dunia sukan berduka dengan pemergian bekas jaguh berbasikal trek Perancis, Charles Coste, yang juga juara Olimpik tertua di dunia, selepas disahkan meninggal dunia pada usia 101 tahun, Khamis lalu.

Berita sedih itu diumumkan oleh Menteri Sukan Perancis, Marina Ferrari, yang menyifatkan Coste sebagai legenda sejati dan simbol ketabahan generasi pasca perang dunia.

“Dengan rasa sedih saya dimaklumkan tentang pemergian Charles Coste, juara Olimpik di London. Pada usia 101 tahun, beliau meninggalkan warisan sukan yang amat besar,” kata Marina dalam satu kenyataan.

Coste menjadi juara Olimpik pada temasya London 1948 apabila membantu pasukan Perancis menewaskan Britain di separuh akhir sebelum menumpaskan Itali dalam acara berbasikal trek berpasukan (team pursuit) untuk meraih pingat emas.

Lahir pada 8 Februari 1924, Coste pernah dianggap antara pelumba muda paling berbakat di Perancis sebelum kariernya terhenti akibat tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Namun, beliau kembali aktif selepas perang dan menjuarai kejohanan kebangsaan pada tahun 1947.

Selain dikenang sebagai juara Olimpik, Coste turut diberi penghormatan besar apabila menjadi pembawa obor pada Sukan Olimpik Paris 2024, simbol kesinambungan semangat Olimpik antara generasi lama dan baharu.

Sejak pemergian gimnas Hungary, Agnes Keleti, pada Januari lalu, Coste diiktiraf sebagai juara Olimpik tertua yang masih hidup di dunia iaitu satu gelaran yang kini berakhir bersama pemergiannya.

Pemergian beliau meninggalkan legasi besar buat sukan berbasikal dan sejarah Olimpik Perancis, yang menyifatkan Coste sebagai lambang kecekalan dan inspirasi kepada atlet muda seluruh dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top