Washington: Komuniti luncur ais global pada Khamis berkabung selepas nahas jet penumpang di Washington, pada malam Rabu lalu, mengorbankan dua bekas jurulatih juara dunia dan generasi bintang muda sukan itu dari Amerika Syarikat (AS).
Bekas juara pasangan dunia dari Rusia, Evgenia Shishkova dan Vadim Naumov serta 14 pemain luncur ais AS terkorban apabila sebuah pesawat bertembung di udara dengan helikopter tentera AS di atas ibu negara AS.
Penerbangan American Eagle 5342 dari Wichita, Kansas, itu kemudian terjunam ke dalam Sungai Potomac.
Presiden Donald Trump pada Khamis mengumumkan tiada mangsa terselamat.
Ketua eksekutif The Skating Club of Boston, Doug Zeghibe, mengesahkan enam ahli kelabnya berada di dalam pesawat itu, termasuk pasangan juara dunia pada 1994 iaitu Shishkova dan Naumov.
“Untuk pengetahuan, 14 pemain luncur ais yang (dalam perjalanan) pulang ke rumah… maut dalam nahas pesawat itu,” kata Zeghibe.
Mereka pulang dari kem pembangunan di Wichita selepas kejohanan minggu lalu di sana.
“Kem ini adalah untuk bintang kompetitif muda yang paling menjanjikan untuk menjadi juara masa depan,” kata Zeghibe.
US Figure Skating, dalam satu kenyataan, hanya mengesahkan bahawa “beberapa ahli komuniti luncur ais kami” berada di dalam pesawat.
© New Straits Times Press (M) Bhd