Bekas juruaudit akaun mengaku tidak bersalah pecah amanah lebih RM1.9 juta

Bekas juruaudit akaun mengaku tidak bersalah pecah amanah lebih RM1.9 juta


audreymd@nst.com.my

Balik Pulau: Bekas juruaudit akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan dana syarikat berjumlah lebih RM1.9 juta.

Chuan Chin Ghee, 29, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Bagi pertuduhan pertama, Chuan ketika menjawat jawatan juruaudit akaun di syarikat Wings Freight Express Sdn Bhd di Batu Maung, didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat 12 pemindahan berjumlah RM129,000 dari akaun CIMB Bank syarikat ke akaun CIMB Bank peribadinya antara 6 November dan 8 Disember 2020.

Pertuduhan kedua pula melibatkan 114 pemindahan berjumlah RM929,451.80 antara 1 Januari dan 18 Disember 2021.

Pertuduhan ketiga melibatkan 73 pemindahan berjumlah RM570,947.75 antara 21 Januari dan 29 Disember 2022.

Pertuduhan keempat melibatkan 32 pemindahan berjumlah RM290,500.00 antara 10 Januari dan 22 Mei 2023.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong manakala Chuan diwakili oleh peguam M. Puveneswaran.

Lim memohon jaminan ditetapkan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Puveneswaran bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan, dengan menyatakan bahawa jaminan hanyalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan bukannya sebagai hukuman.

Mahkamah kemudian membenarkan Chuan diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 November untuk sebutan semula kes sementara menunggu penyerahan dokumen.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top