Bekas jurulatih Liverpool pengendali baharu kelab Arab Saudi

Bekas jurulatih Liverpool pengendali baharu kelab Arab Saudi


Riyadh: Bekas pengurus Celtic dan Liverpool, Brendan Rodgers menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al Qadsiah sebagai ketua jurulatih, tujuh minggu selepas meletakkan jawatan daripada kelab Scotland yang sedang bergelut itu.

Rodgers, 52, meninggalkan Celtic dalam suasana tegang pada akhir Oktober selepas mengkritik lembaga pengarah kelab dan mengecam urusan perpindahan pemain mereka, sehingga pemegang saham utama kelab, Dermot Desmond, menyifatkannya sebagai “memecah-belahkan, mengelirukan dan mementingkan diri sendiri”.

Al Qadsiah yang dimiliki syarikat minyak milik kerajaan Arab Saudi, Aramco, kini berada di tempat kelima liga Saudi dan memecat ketua jurulatih, Michel Gonzalez, pada Ahad.

Rodgers, warga Ireland Utara, direkrut oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif seteru Celtic, Rangers, James Bisgrove, yang kini memegang jawatan sama di Al Qadsiah.

Bisgrove menyifatkan ketibaan Rodgers sebagai “detik penting dalam sejarah kelab”.

Rodgers akan mula bertugas menjelang jendela perpindahan Januari, ketika kelab dijangka berusaha memperkuatkan skuad mereka.

Pemain antarabangsa Itali, Mateo Retegui, dan bekas pertahanan Real Madrid, Nacho Fernandez antara nama terbesar dalam pasukan ketika ini.

Rodgers pernah membawa Liverpool menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris sebagai naib juara pada musim 2013–2014 dan memenangi Piala FA bersama Leicester pada 2021.

Dalam dua penggal bersama Celtic, beliau memenangi liga sebanyak empat kali, Piala Scotland tiga kali dan Piala Liga empat kali.

Bekas pengurus, Martin O’Neill, menstabilkan keadaan di Celtic sebagai jurulatih sementara selepas pemergian Rodgers, namun jurulatih baharu dari Perancis, Wilfried Nancy, tewas dalam tiga perlawanan pertamanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top