Bekas Ketua Polis Kelantan dilantik Presiden KRW FC

Bekas Ketua Polis Kelantan dilantik Presiden KRW FC


KOTA BHARU – Bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilantik sebagai Presiden Kelantan Red Warrior (KRW) FC sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan pasukan yang sebelum ini berdepan krisis kepimpinan.

Pelantikan itu diumumkan pada satu sidang media khas di Butik Amar Amran, di sini pada petang Isnin yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRW, Wan Mohd Fajarulekram Wan Mokhtar yang juga pemilik dan penaja utama pasukan.

Turut hadir barisan pengurusan kelab, Ketua Jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim serta penaja, Datuk Amar Amran yang juga Yang Dipertua Koperasi Amar Amran Berhad.

Mengulas pelantikannya, Muhamad Zaki yang pernah mengetuai Polis Kontinjen Kelantan menegaskan beliau terpanggil untuk menyahut cabaran memimpin KRW walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang bola sepak.

“Syukur kepada ALLAH SWT kerana diberi kepercayaan oleh pihak KRW untuk melantik saya sebagai presiden.

“Walaupun saya secara langsung tidak pernah terlibat dengan persatuan bola sepak, namun saya percaya dengan semangat, usaha dan kesungguhan, kita mampu mencapai sesuatu yang besar daripada ‘zero to hero’,” katanya.

Beliau menegaskan, kunci utama dalam membina semula kekuatan KRW ialah disiplin, integriti, kerjasama serta semangat berpasukan selain komitmen membimbing bakat-bakat muda tempatan agar terus diberi peluang.

“Saya juga bersedia untuk menerima kritikan membina bagi memajukan lagi pasukan ini dan bola sepak negara,” katanya.

Pelantikan Muhamad Zaki sekali gus menamatkan kekosongan kerusi presiden selepas penyandang terdahulu, Nik Hafiz Naim Nik Hassan mengumumkan peletakan jawatan pada 2 Ogos lalu dan melepaskan keseluruhan pegangan saham kelab.

Keputusan itu dibuat bagi menyelamatkan KRW daripada terus dihimpit sekatan badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengklasifikasikan KRW sebagai warisan sukan kepada Kelantan FC lalu mengenakan larangan pendaftaran pemain sehingga 14 Ogos.

Susulan langkah itu, pemilikan KRW kini dipindahkan sepenuhnya kepada syarikat kopi tempatan, Nasken Coffee, yang turut menzahirkan komitmen untuk memberi nafas baharu kepada pasukan.

Sementara itu, Wan Mohd Fajarulekram berkata, pemilihan Muhamad Zaki dibuat berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menguruskan sebuah jabatan polis selama 37 tahun.

“Kami pilih beliau atas dasar integriti dan menjadikannya sebagai mentor untuk membantu memperbaiki pasukan ke arah lebih baik,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top