Bekas pemain Arsenal didakwa lima pertuduhan rogol

Bekas pemain Arsenal didakwa lima pertuduhan rogol


London: Bekas pemain tengah Arsenal, Thomas Partey, dibebaskan dengan ikat jamin bersyarat selepas tampil di Mahkamah Majistret Westminster, semalam atas pertuduhan berkaitan kes rogol dan serangan seksual.

Pemain antarabangsa Ghana berusia 32 tahun itu berdepan lima pertuduhan rogol membabitkand dua wanita serta satu pertuduhan serangan seksual terhadap wanita ketiga.

Semua kesalahan itu didakwa berlaku antara 2021 hingga 2022 ketika Partey masih bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal.

Dia didakwa empat hari selepas meninggalkan The Gunners apabila kontraknya tamat pada penghujung Jun lalu.

Pada prosiding mahkamah, Partey kelihatan tenang berdiri di kandang tertuduh dengan tangan di belakang sambil mengenakan baju sejuk hitam berzip.

Polis Britain memaklumkan laporan pertama berkaitan kes rogol itu diterima pada Februari 2022.

Peguamnya, Jenny Wiltshire, sebelum ini menegaskan bahawa anak guamnya menafikan semua pertuduhan dan menyambut baik peluang untuk membersihkan namanya.

Partey menyertai Arsenal dari Atletico Madrid pada Oktober 2020 dengan nilai perpindahan £45 juta (RM270 juta), dan bermain sebanyak 167 perlawanan serta menjaringkan sembilan gol sepanjang bersama kelab itu.

Musim lalu, dia membuat 52 penampilan dan menjaringkan empat gol.

Dia juga memiliki 51 kaps bersama skuad kebangsaan Ghana.

Seorang jurucakap Arsenal sebelum ini berkata kontrak Partey berakhir pada 30 Jun dan kelab tidak akan mengulas lanjut memandangkan prosiding undang-undang masih berjalan.

Dalam perkembangan lain, beberapa laporan menyebut Partey kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab La Liga, Villarreal.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top