Bekas pemain bola, penyanyi veteran antara calon PRN Sabah

Bekas pemain bola, penyanyi veteran antara calon PRN Sabah


am@hmetro.com.my

Ranau: Bekas pemain bola sepak dan penyanyi veteran tempatan Sabah diumum antara calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Henry Saimpon yang pernah menyarung jersi Sabah dari 1997 termasuk menjadi Pengurus Pasukan Bola Sepak Sabah dari 2018 hingga 2020 dicalonkan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Tuaran.

Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda berkata, penyanyi veteran Kadazandusun, John Samud pula bakal dicalonkan mewakili parti itu di kerusi DUN Tempasuk di Kota Belud.

Beliau turut mengumumkan satu lagi nama, iaitu bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Rusdin Riman sebagai calon KDM bagi kerusi DUN Paginatan di Ranau.

“Tiga calon ini akan menggalas cabaran KDM di Kiulu, Tempasuk dan Paginatan bagi memenangi PRN17 nanti,” katanya pada majlis Semarak Perpaduan KDM DUN Paginatan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Wetrom yang juga Pengarah Jentera PRN17 KDM sudah mengumumkan beberapa calon KDM yang akan bertanding pada pilihan raya itu nanti.

Antara diumumkan ialah Datuk Jeffry Mohd Ali (Kundasang), Dr Oswald Aisat Igau (Tulid), Dr Gaim Lunkapis (Tamparuli), Mckery Victor (Moyog) dan Datuk Almudin Kaida (Pintasan).

Berdasarkan perkembangan itu, KDM setakat ini sudah menamakan calon di lapan kerusi daripada lebih 40 kerusi yang disasar ditandingi parti itu pada PRN17.

KDM yang ditubuhkan pada 18 Februari 2022 akan bertanding secara solo pada PRN17 seperti diumumkan Presidenya, Datuk Peter Anthony, sebelum ini.

Peter yang menyandang kerusi DUN Melalap bagaimanapun tidak dapat mempertahankan kerusinya kerana menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan memalsukan dokumen.

Difahamkan, kerusi berkenaan bakal ditandingi anaknya, Priscella Peter yang juga Timbalan Presiden KDM yang kini menjalankan tugas mengurus parti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top