Bekas penyerang England sertai kelab liga bawahan demi keluarga

Bekas penyerang England sertai kelab liga bawahan demi keluarga


Andy Carroll menyertai Dagenham & Redbridge secara percuma selepas meninggalkan Bordeaux. Foto Agensi

BEKAS penyerang England, Andy Carroll mengejutkan komuniti bola sepak apabila menyertai kelab Divisyen Enam, Dagenham & Redbridge secara perpindahan percuma.

Pemain berusia 36 tahun itu menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab Liga Nasional Selatan itu selepas meninggalkan kelab Perancis, Bordeaux bulan lalu.

Menurut Carroll, keputusan untuk kembali ke England dibuat demi mendekatkan diri dengan anak-anaknya walaupun beliau menerima beberapa tawaran daripada kelab yang beraksi di liga lebih tinggi.

“Saya menerima panggilan daripada kelab-kelab yang bermain di liga lebih tinggi, tetapi bagi saya yang lebih penting ialah mencari kelab yang sesuai,” katanya.

Tambah Carroll lagi, beliau tidak memandang soal tahap liga atau ganjaran kewangan, sebaliknya lebih menitikberatkan peluang untuk kembali beraksi di atas padang.

“Ia bukan soal tahap atau wang ringgit, asalkan saya dapat bermain bola sepak, itu sudah memadai. Saya mahu tunjukkan kepada semua bahawa saya bermain kerana cinta terhadap bola sepak, bukan kerana bayaran atau status.

“Projek di Dagenham ini sesuatu yang menarik, kami mahu membawa kelab ini keluar dari liga bukan profesional dan kembali naik ke liga-liga lebih tinggi,” katanya.

Sebagai rekod, Carroll yang berasal dari Gateshead pernah meledak 54 gol dalam 248 perlawanan Liga Perdana Inggeris sepanjang bersama Newcastle United, Liverpool dan West Ham United.

Beliau juga pernah beraksi bersama Reading dan West Bromwich Albion sebelum berhijrah ke Perancis pada 2023 untuk menyertai kelab Amiens dalam saingan Ligue 2 dan kemudiannya Bordeaux.

Sepanjang karier antarabangsa, Carroll telah meraih sembilan kaps bersama skuad England antara 2010 hingga 2012, serta menjaringkan dua gol.

Dalam perkembangan lain, Dagenham & Redbridge turut mengumumkan perjanjian penjualan kelab kepada satu konsortium pelabur swasta dari Qatar pada hari sama Carroll diumumkan sebagai pemain baharu mereka.

Kelab itu sebelum ini telah dibeli oleh Club Underdog, anak syarikat kepada firma Amerika Syarikat, North Six Group pada Mei 2024.



Source link

OR

Scroll to Top