Kehadiran Diakite bukan sahaja membawa pengalaman dari pelbagai liga kompetitif antarabangsa, tetapi juga diyakini mampu membimbing barisan pertahanan muda Kedah agar tampil lebih berdisiplin dan bertenaga. Foto Kedah FA
KEDAH FA mengorak langkah berani menjelang kempen Liga A1 Semi-Pro 2025–2026 dengan memuktamadkan penyertaan bekas benteng kental Terengganu FC, Pape Abdoulaye Diakite sebagai pemain import ketiga pasukan Hijau Kuning itu.
Pemain kelahiran Senegal berusia 32 tahun itu bukan nama asing dalam kancah Liga Malaysia kerana pernah menyarung jersi Sang Penyu pada musim 2022.
Beliau tampil sebanyak 19 kali bersama pasukan tersebut dan memainkan peranan penting membawa pasukan ke pentas akhir Piala FA dan separuh akhir Piala Malaysia selain bergelar naib juara Liga Super.
Berbekalkan fizikal mantap setinggi 1.94 meter serta ketajaman membaca pergerakan lawan, kemasukan Diakite dijangka memperkukuh benteng pertahanan Kedah FA yang kini giat mempersiapkan pasukan untuk musim ini.
Karier awalnya bermula di AS Dakar Sacré-Cœur sebelum mengembangkan bakat ke Eropah bersama kelab AS Trenčín di Slovakia dan Royal Antwerp di Belgium.
Nama beliau turut mewarnai kancah bola sepak antarabangsa dengan menyertai FC Edmonton (Kanada), Tampa Bay Rowdies (Amerika Syarikat), Police Tero (Thailand) serta dua kelab ternama Vietnam iaitu Ho Chi Minh City FC dan Sai Gon FC.
Kehadiran Diakite bukan sahaja membawa pengalaman dari pelbagai liga kompetitif antarabangsa, tetapi juga diyakini mampu membimbing barisan pertahanan muda Kedah agar tampil lebih berdisiplin dan bertenaga.
Penyokong Kedah FA kini boleh meletakkan harapan tinggi terhadap gandingan mantap pertahanan, sambil menantikan aksinya di Stadium Darul Aman yang pasti menjanjikan pertahanan kebal buat pasukan.