Bekas protege Mentor 7 antara peserta uji bakat OIAM di Sabah

Bekas protege Mentor 7 antara peserta uji bakat OIAM di Sabah



am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pernah menyertai program realiti TV3, Mentor musim ketujuh tidak menghalang Mohd Adzuan Mazlan atau Megat menyertai uji bakat Calpis Soda One In A Million (OIAM) Sabah.

Megat sebelum ini protege Aizat Amdan pernah popular menerusi lagu duet Tetap Kamu bersama Amylea yang menjadi lagu tema drama bersiri Nur 2.

Penyanyi kelahiran Tawau berusia 31 tahun itu tidak menyangka percubaan menyertai uji bakat Calpis Soda OIAM kali ini membuahkan hasil apabila juri memilihnya antara peserta ke peringkat top 100.

“Walaupun pernah menjadi artis tetapi saya selalu percaya pada rezeki.

“Perkara paling adalah kita mencuba dan selebihnya terpulang kepada penilaian juri.

“Mungkin saya ada kelebihan pernah menyertai Mentor musim ketujuh dan melahirkan single namun ia bukan alasan untuk saya mendabik dada serta terlalu yakin sepanjang uji bakat,” katanya kini menetap di Kota Kinabalu serta berkecimpung sebagai penyanyi busker.

Pencarian bakat nyanyian Calpis Soda OIAM berlangsung selama dua hari pada 9 dan 10 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam.

Sabah adalah lokasi uji bakat kedua selepas Johor Bahru.

Calpis Soda OIAM terbuka kepada semua individu yang berusia lima belas tahun ke atas dari Malaysia dan negara jiran.

Penyertaan terbuka sama ada secara solo, duo atau kumpulan.

Penyanyi yang mempunyai lagu ciptaan sendiri amat digalakkan untuk menyertai selagi tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman.

Buat peminat Calpis Soda, pembelian pek promosi eksklusif 10 tin pada harga RM30 berpeluang melalui proses uji bakat yang lebih lancar dan cepat Fast Lane Eksklusif.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top