Bekas tunang kepada pelakon Zarina Anjoulie iaitu usahawan Datuk Seri Khazrul Elzy menafikan dakwaan dia sedang menjalin hubungan dengan aktres Zara Zya.
Memetik mStar Online, Khazrul berkata hubungan mereka masih di peringkat awal namun beranggapan dakwaan yang timbul adalah satu doa yang baik.
BACA: Tayang Gambar Wanita Cantik, Bekas Tunang Zarina Anjoulie Dah Jumpa Pengganti?
“Tentang dakwaan kami bercinta itu, saya menafikan kerana ia masih terlalu awal. Memang ramai yang mengatakan kami bercinta, saya anggap itu sebagai satu doa,” katanya.
Sementara itu, Khazrul berkata dia tidak menolak soal jodoh serta mengakui mempunyai impian untuk memperisterikan Zara jika diberi peluang.
“Saya tiada orang lain. Jika diizinkan Allah dan memang ditakdirkan jodoh kami, saya tidak menolak.
“Sudah tentu jika sampai ke tahap itu, saya ingin menjaga dia. Buat masa ini, saya suka pada Zara, namun hati masih belum berbicara sepenuhnya kerana semuanya masih di peringkat awal,” katanya.
Dalam pada itu, Khazrul berkata dia tertarik dengan perwatakan sederhana aktres itu serta seorang yang kuat menghadapi dugaan hidup.
Malah, Khazrul berkata dia kagum dengan kekuatan pelakon itu meskipun diuji dengan kanser buah pinggang.
“Sejujurnya, saya suka perwatakan dia. Jika diberi peluang untuk mengenali dia dengan lebih rapat, saya sangat bersyukur.
“Dia seorang yang sangat kuat. Dia diuji dengan disahkan menghidap kanser buah pinggang dan saya kagum dengan cara dia menjaga diri serta bertahan untuk terus hidup. Saya suka orang yang mampu berdikari dan kuat menghadapi ujian,” katanya.
Sumber: mStar Online






