KUALA LUMPUR – Persoalan paling besar kini bukan sekadar tentang siapa yang bersalah tetapi sejauh mana kita benar-benar belajar daripada kesilapan lampau.
Itulah yang seharusnya menjadi renungan bersama ketika arena bola sepak tanah air bergelut dengan kejutan susulan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain kebangsaan baru-baru ini.
Keputusan badan induk bola sepak dunia itu bukan sahaja satu tamparan buat FAM malah turut mencalar imej Malaysia di mata antarabangsa.
Walaupun masih terdapat ruang untuk FAM mengemukakan rayuan, episod hitam itu secara tidak langsung memperlihatkan betapa lemahnya sistem semak dan imbang dalam pentadbiran sukan paling popular di negara ini.
Bagi mereka yang sudah lama mengikuti perjalanan bola sepak tempatan, rasa kecewa itu bukan lagi mengejutkan tetapi kini bertukar menjadi keletihan yang mendalam.
Namun, daripada setiap krisis wujud peluang untuk membetulkan keadaan.
Dalam konteks ini, FAM perlu melihat hukuman oleh FIFA itu bukan sebagai beban tetapi panggilan untuk berubah.
Setiap organisasi besar mungkin pernah melalui detik gelap, namun yang membezakan adalah sama ada mereka berani menjadikannya titik tolak kepada reformasi sebenar atau sekadar menunggu masa untuk mengulangi kesilapan yang sama.
Pertama, FAM perlu mengutamakan prinsip akauntabiliti kerana dalam dunia yang semakin terbuka masa untuk menyembunyikan kelemahan sudah berakhir.
Rakyat bukan lagi penonton pasif sebaliknya mereka kini pemerhati yang menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Justeru, setiap keputusan penting mesti disertai dengan penjelasan yang sebenar, fakta yang telus dan kesediaan untuk menerima kritikan.
Kedua, perlu ada perubahan budaya dalam organisasi memandangkan bola sepak moden menuntut tadbir urus profesional, bukan pentadbiran berasaskan hubungan atau kedudukan.
Dalam erti kata lain, kecekapan mesti mengatasi kesetiaan dan merit perlu mengatasi nama.
FAM juga mesti berani memanfaatkan kepakaran dari luar termasuk tokoh profesional yang berpengalaman dalam undang-undang sukan, kewangan dan komunikasi strategik.
Ketiga, pemimpin sukan perlu kembali kepada nilai teladan iaitu rendah hati, jujur dan berjiwa rakyat.
Seorang pemimpin bola sepak tidak boleh hanya muncul ketika kemenangan tetapi mesti berdiri di hadapan apabila kesilapan berlaku.
Keberanian mengaku silap adalah tanda kekuatan moral dan itu contoh yang akan dihormati oleh pemain, penyokong dan rakyat.
Selain itu, FAM juga perlu memperkukuh semula hubungan dengan kelab, negeri dan akar umbi.
Pembangunan bola sepak tidak boleh hanya bergantung kepada projek jangka pendek atau kempen imej di media sosial kerana ia bermula di padang kampung, sekolah, akademi dan sistem liga yang stabil.
Jika akar umbi lemah, mana mungkin ‘pokok’ bola sepak negara mampu berdiri teguh.
Dalam konteks yang lebih luas, semua pihak dalam ekosistem bola sepak merangkumi jurulatih, pemain, media dan penyokong turut memainkan peranan.
Kritikan yang membina lebih berharga daripada pujian kosong.
Begitu juga kejujuran dalam laporan, profesionalisme dalam pengurusan dan kesetiaan terhadap prinsip yang betul, semuanya menjadi asas kepada pembentukan semula keyakinan rakyat terhadap sukan ini.
Dalam pada itu, kita tidak boleh lupa bahawa bola sepak adalah milik rakyat.
Ia hidup kerana semangat, sokongan dan kepercayaan mereka yang tidak pernah putus memberi harapan kepada skuad kebangsaan.
Maka setiap tindakan FAM, setiap keputusan yang dibuat seharusnya berpaksikan kepada amanah itu, bukan kepada kepentingan individu atau imej sementara.
Krisis FIFA-FAM ini harus menjadi cermin kepada semua bahawa setiap kelalaian dalam pengurusan bukan sahaja memberi kesan kepada organisasi tetapi turut menjejaskan maruah negara.
Jika FAM mampu bangkit dengan tekad baharu, bersikap terbuka terhadap pembaharuan dan mengembalikan kepercayaan rakyat, mungkin daripada krisis ini akan lahir satu generasi kepimpinan baharu yang benar-benar memahami erti amanah.
Akhirnya, bola sepak bukan sekadar permainan. Ia adalah cerminan nilai kita sebagai bangsa, tentang disiplin, tanggungjawab dan maruah. Jika FAM benar-benar mahu memulihkan kepercayaan rakyat, inilah saatnya untuk bertindak dengan keberanian dan kejujuran yang sebenar.
Memetik kata-kata penganalisis bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli, isu tersebut tidak wajar dibiarkan berlarutan dan menuntut agar ada pihak yang tampil memikul tanggungjawab, sambil tidak menolak kemungkinan perlunya “reset” dalam FAM sekiranya keadaan menuntut.
“Isu ini tidak boleh berakhir di sini, mereka yang terlibat sama ada secara individu mahupun berkumpulan dalam skuad kebangsaan atau FAM wajar meletakkan jawatan.
“Perjuangan memartabatkan pasukan kebangsaan mesti diteruskan. Ahli gabungan FAM tidak boleh terus menjadi pengikut yang membisu, mereka perlu ada keberanian untuk bersuara atau mereka juga wajar berundur,” katanya. – Bernama