Belanjawan 2025 : Kementerian Komunikasi fokus perkukuhkan prasarana internet

Belanjawan 2025 : Kementerian Komunikasi fokus perkukuhkan prasarana internet


GEORGE TOWN – Kementerian Komunikasi tekad untuk terus memperkukuh prasarana kesalinghubungan internet khususnya di kawasan terpencil, pedalaman dan pulau-pulau menerusi pembentangan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, usaha itu bertujuan memastikan akses internet berkelajuan tinggi lebih meluas termasuk di institusi pendidikan.

“Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memastikan kawasan yang dinyatakan itu dilengkapi dengan kemudahan internet.

“Kita juga akan berusaha untuk membantu 4,000 sekolah yang terlibat pelaksanaan projek Point of Presence (POP) mendapat internet hingga ke dalam sekolah dengan kemudahan Wi-Fi.

“Tindakan ini adalah susulan teguran audit terhadap pelaksanaan projek POP ini hanya menyediakan internet setakat pagar sekolah, tidak sampai ke dalam premis sekolah dan orang yang melaksanakan projek ini sebelum saya tidak menyelesaikan masalah tersebut.

“Maka kementerian merasakan ada keperluan untuk kita perbaiki masalah ini dengan membantu sekolah-sekolah terlibat dan usaha ini akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Fahmi menghadiri Program Sembang Santai Komuniti Madani di Gelugor di sini.

Fahmi menghadiri Program Sembang Santai Komuniti Madani di Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada peningkatan akses internet di kampus-kampus universiti awam seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya telah minta pihak SKMM segera berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk kita kenal pasti kampus di universiti awam yang mempunyai masalah internet kerana setiap kampus ada masalah ataupun isu-isu yang berbeza.

“Jadi kita harap langkah-langkah ini dapat memperbaiki prasarana digital negara dan memberi manfaat yang besar kepada pelajar dan penduduk di kawasan pedalaman,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top