08 Oktober 2024 01:01pmMasa membaca: 4 minit
Megat D Shahriman
MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian dana RM10 juta kepada majlis itu menerusi Belanjawan 2025 agar dapat disalurkan secara langsung kepada 25 persatuan sukan para kebangsaan bagi melaksanakan program akar umbi masing-masing
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, dana itu akan membuka peluang kepada MPM dan persatuan untuk menggilap bakat atlet yang berada di luar program kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).
Pada masa sama katanya, MSN pula boleh memberikan tumpuan untuk membangunkan atlet berprestasi tinggi menerusi program yang sudah diatur termasuk di Bukit Jalil mahupun Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, di Kuala Lumpur.
“Kita mahu jadi kilang lahirkan atlet para yang boleh digunakan untuk tempoh 20 tahun akan datang dan berharap kerajaan terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberikan dana terus kepada MPM, sekali gus mengangkat martabat atlet kita setanding dengan atlet normal.
“Sekiranya mahu maju ke hadapan, banyak lagi pencapaian harus dilakar bukan sahaja dalam sukan tetapi pembangunan dari segi klasifikasi, pegawai teknikal dan perubatan sukan atlet orang kurang upaya,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut memberikan jaminan akan patuh kepada segala prosedur sekali gus memastikan amalan tadbir urus yang baik dalam pengagihan dana kepada pihak terlibat dan sentiasa terbuka untuk disiasat pihak berkuasa sekiranya terdapat dakwaan salah laku berkaitan pengagihan itu.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini. – Bernama