SEREMBAN: Belanjawan Negeri Sembilan 2025 yang dibentangkan pada 22 November lalu diluluskan sebulat suara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini hari ini selepas ia dibahaskan dibahaskan selama tiga hari.
Bertemakan Bersama Membina Negeri Madani, Belanjawan Negeri Sembilan 2025 merupakan merupakan belanjawan berimbang membabitkan anggaran hasil dan anggaran belanja mengurus sebanyak RM590 juta.
Sebanyak RM135 juta pula diperuntukan bagi perbelanjaan pembangunan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam pada itu menjelaskan, Negeri Sembilan sememangnya mampu untuk melaksanakan belanjawan berimbang berdasarkan prestasi kerajaan negeri semasa.
“Belanjawan 2025 ini saya yakin akan memberikan manfaat kepada rakyat kepada keseluruhannya, kami tiada potong mana-mana insentif malah tambah insentif, kami yakin semua insentif berkenaan mampu memberikan satu manfaat kepada semua rakyat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita berakhirnya Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.
Sementara itu, persidangan hari ini turut meluluskan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 iaitu bagi mewujudkan satu jawatan baharu dalam kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang akan dikenali sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kanan.
Aminuddin berkata, secara asasnya, peranan dan dan fungsi jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Kanan) ini adalah untuk membantu Menteri Besar dalam menjalankan kuasanya, melaksanakan kewajipan dan menunaikan fungsinya atas arahan Menteri Besar.
“Hari ini kita menggazetkan jawatan itu dalam Negeri Sembilan kerana kita tiada jawatan Timbalan Menteri Besar, jadi kita gazetkan sebagai Exco Kanan,” katanya.
Jawatan Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan telah diwujudkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tahun lalu dan ia kini dipikul oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Selain itu turut diluluskan RUU untuk meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 bagi menyelaraskan semula gaji sedia ada.
Pelarasan itu juga selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri untuk melaksanakan kenaikan gaji bagi penjawat awam melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)-UTUSAN.