Belanjawan 2025 perlu kukuhkan ekonomi termasuk mutu kehidupan rakyat

Belanjawan 2025 perlu kukuhkan ekonomi termasuk mutu kehidupan rakyat


KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan esok perlu memiliki kesinambungan terhadap ekonomi Malaysia dengan menaikkan siling sebagai potensi mengukuhkan ekonomi termasuk mutu kehidupan rakyat.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, beberapa aspek penting harus menjadi aspirasi termasuk mengambil kira harapan rakyat Malaysia mengenai belanjawan yang dinantikan.

“Pertama, perlunya mengambil kira peningkatan peruntukan pendidikan. Rakyat berharap untuk melihat peningkatan dalam peruntukan untuk pendidikan, termasuk pengembangan infrastruktur sekolah dan sokongan bagi program pembelajaran digital.

“Banyak sekolah yang usang dan daif, termasuklah sekolah-sekolah yang kekurangan infrastruktur dalam melestarikan sistem pembelajaran di kelas. Ada juga sekolah yang kekurangan kelas tetapi, mendapat lambakkan murid sehingga mencecah 40 hingga 50 orang sekelas, termasuklah kelas pendidikan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahir berkata, berhubung kos sara hidup pula, langkah-langkah konkrit bagi mengurangkan beban rakyat termasuk pengawalan harga barang keperluan dan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah perlu diutamakan.

Beliau mendakwa, terdapat ura-ura bahawa kerajaan dijangka mengumumkan langkah cukai baharu dalam Belanjawan 2025 memandangkan asas cukai menunjukkan pertumbuhan yang terhad sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan pada 2018.

Katanya, kerajaan mungkin memperkenalkan atau melaksanakan cukai gula, cukai barang bernilai tinggi (HVGT) dan cukai Peraturan Anti-Hakisan Global (GloBE).

“Ketiga, inisiatif pembangunan ekonomi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, termasuk sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelaburan dalam teknologi dan inovasi.

“Usahawan mikro, kecil dan sederhana harap kerajaan tidak perkenal cukai baharu, naikkan cukai. Sebaliknya, perlu ada insentif seperti memperbanyakkan insentif pengurangan cukai bagi penggunaan teknologi, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan produk halal kepada PMKS.

“Kerajaan juga perlu melindungi peniaga tempatan yang membayar cukai dengan mengawal kebanjiran peniaga warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan Kemboja kerana ada di antara mereka tidak membayar cukai untuk perniagaan seperti kedai gunting rambut, kedai runcit dan gerai buah-buahan,” katanya.

Sehubungan itu Shahir berkata, Belanjawan 2025 diharapkan menjadi satu belanjawan mesra rakyat demi kesejahteraan semua pihak.

Katanya, kerajaan perlu mengimbangi setiap kesan daripada perkara besar yang diumumkan terutama kepada golongan pertengahan (M40) yang kurang mendapat bantuan agar tidak terjerumus ke dalam kelompok miskin B40. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top