Belanjawan 2025: Subsidi RON95, M40 dan bantuan B40 jadi tumpuan

Belanjawan 2025: Subsidi RON95, M40 dan bantuan B40 jadi tumpuan


KUALA LUMPUR – Belanjawan 2025 yang akan dibentang esok bakal menjadi perhatian umum dengan menantikan apakah pengumuman terbesar akan dilaksanakan kerajaan.

Dengan tema Negara Makmur, Rakyat Sejahtera merupakan pembentangan kali ketiga oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isu subsidi RON95, M40 dan bantuan B40 menjadi antara telahan umum.

Sejak penyasaran diesel pada Jun tahun ini, pelaksanaan RON95 antara dilihat menjadi bualan.

Pelbagai persoalan dibangkitkan antaranya apakah indikator yang akan digunakan jika penyasaran benar-benar dilaksanakan.

Apakah kerajaan benar-benar sudah mempunyai mekanisme terbaik untuk ‘menyejukkan’ hati rakyat dengan pengumuman itu kelak?

Bagi mengimbangi antara subsidi yang perlu untuk meringankan beban rakyat dan juga tanggungjawab kewangan kerajaan merupakan cabaran yang perlu ditangani dalam belanjawan kali ini.

Lihat sahaja, dalam tempoh beberapa bulan penyasaran subsidi diesel dilaksanakan, ramai yang masih tidak boleh menerimanya malah masih menganggap keputusan tidak populis itu boleh menyebabkan kerajaan bakal hilang undi.

Namun mereka alpa, kesan jangka panjang, penjimatan itu akan digunakan untuk meningkatkan infrastruktur seperti hospital, sekolah dan lain-lain lagi.

Rata-rata pemerhati ekonomi sudah bercakap mengenai subsidi RON95 ini kerana menganggap sudah tiba masa ia tidak lagi menguntungkan golongan berpendapatan tinggi semata-mata.

Menurut, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pelarasan subsidi bahan api RON95 juga mampu mengatasi masalah ketirisan khususnya melibatkan aktiviti penyeludupan dan penggunaan bahan api bersubsidi oleh warga asing.

“Negara perlu berhadapan dengan kesan jangka pendek ekoran pelaksanaan pelarasan subsidi RON95 itu antaranya kenaikan inflasi disebabkan penggunaan bahan api itu adalah begitu ketara dalam kalangan rakyat.

“Perkara ini dapat dilihat dengan jelas dalam pemberat Indeks Harga Pengguna iaitu lima peratus berbanding 0.2 peratus bagi penggunaan diesel.

“Oleh itu, isu rasionalisasi bahan api RON95 ini perlu diterangkan dengan jelas kepada rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Tidak hanya subsidi, menerusi Belanjawan 2025 ini juga, rakyat akan ternanti-nanti apakah pula insentif kepada golongan M40.

Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda, sudah tiba masanya golongan M40 menerima manfaat yang sama seperti B40.

Mengakui golongan ini tidak pernah terpinggir dalam mana-mana belanjawan, namun ia perlu ditambah baik lagi.

“Kita tahu ada pengecualian cukai diberikan kepada mereka (M40) tapi sudah tiba masanya mereka ini menerima insentif yang sama dengan apa yang diterima golongan B40.

“Saya mengambilkira, M40 antara yang paling mengalami kesukaran kerana komitmen mereka agak tinggi dan tanpa ada bantuan dari sudut tunai, ia sedikit membebankan.

“Jadi, dalam Belanjawan 2025 ini nanti, kalau boleh kerajaan perlu menekankan insentif untuk diberikan kepada mereka,” katanya menerusi sebuah program bual bicara terbitan MalaysiaGazette iaitu SKOP MG baru-baru ini.

Dalam pada itu, golongan yang tidak pernah tercicir daripada manfaat belanjawan adalah B40 dengan pelbagai insentif seperti Bantuan Tunai Rahmah yang diberikan.

Jika tahun 2023, Bantuan Keluarga Malaysia pada jumlah RM2000, kemudian meningkat pada RM2500, dan mungkinkah jumlah itu dinaikkan lagi pada belanjawan kali ini?

Saksikan semua kupasan mengenai Belanjawan 2025 hanya di SKOP MG bersama-sama panel yang akan bermula 3 petang sehingga tamat pembentangan.  – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top