Belanjawan 2025 tambah daya saing industri sawit – MPOB

Belanjawan 2025 tambah daya saing industri sawit – MPOB


KUALA LUMPUR – Insentif cukai dan bantuan tanam semula yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 berupaya memberi kegembiraan kepada penggiat industri dan peningkatan daya saing industri sawit.

Kenaikan nilai ambang levi keuntungan luar biasa (WPL) semasa daripada RM3,000
kepada RM3,150 satu tan bagi Semenanjung dan RM3,500 kepada RM3,650 satu tan
bagi Sabah dan Sarawak

“Ia merupakan langkah positif oleh kerajaan dalam menyokong sektor sawit. Walaupun kenaikan adalah sederhana, ia merupakan usaha awal yang dapat mengurangkan tekanan kenaikan kos pengeluaran minyak sawit,” kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Ahmad Parveez Ghulam Kadir

Menurut beliau, langkah ini memberikan ruang kepada syarikat perladangan beroperasi dengan lebih efisien, terutamanya bagi berdepan pasaran minyak sayuran global yang kompetitif.

Dengan kenaikan nilai ambang WPL, membolehkan syarikat merancang pelaburan dengan tumpuan kepada inisiatif yang bersifat jangka panjang.

Ini termasuk pelaburan strategik dalam penanaman semula pokok sawit tua yang kian meningkat jumlah keluasan yang seterusnya mampu meningkatkan produktiviti hasil ladang.

Langkah ini juga mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menyokong sektor sawit melalui pendekatan yang seimbang, sambil memberi ruang kepada syarikat untuk terus berkembang. Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan industri sawit kekal mampan.

Tambah beliau, pengumuman lanjutan insentif galakan kepada pekebun kecil sawit persendirian untuk melaksanakan tanam semula dengan benih sawit berkualiti tinggi merupakan langkah proaktif kerajaan yang mengiktiraf sumbangan sektor pekebun kecil sawit.

Peruntukan RM100 juta dijangka memberi manfaat lebih 1,500 orang pekebun kecil melibatkan kawasan seluas 5,900 hektar.

Pelaksanaan insentif tanam semula menggalakkan pekebun kecil untuk menanam semula pokok sawit tua yang kurang produktif, sekali gus meningkatkan hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil.

Langkah ini memperkukuh sektor sawit negara dan kestabilan ekonomi pekebun kecil dalam jangka masa panjang.

Jelas Ahmad Parveez, pengumuman peruntukan sebanyak RM65 juta bagi menangkis salah tanggap mengenai minyak sawit di peringkat antarabangsa, khususnya dari Kesatuan Eropah, merupakan langkah strategik untuk memperkukuhkan pasaran minyak sawit Malaysia.

“lnisiatif ini bukan sahaja membantu dalam mempergiatkan kempen anti minyak sawit malahan memperbetul salah tanggapan mengenai minyak sawit. Inisiatif ini juga meliputi usaha meningkatkan kelestarian sektor sawit melalui Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Pensijilan MSPO amat penting dalam meningkatkan reputasi minyak sawit Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa. Ia membuktikan komitmen negara dalam memastikan industri sawit mengamalkan amalan mampan yang sejajar dengan piawaian antarabangsa.

“Dalam konteks ini, MPOB melihat keperluan untuk peruntukan tersebut digunakan bagi memperkasa pekebun kecil persendirian melalui Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC),” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, initiatif kerajaan menyediakan galakan cukai automasi serta menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan dapat menarik minat pekerja tempatan berkecimpung dalam kerjaya di sektor perladangan.

Galakan cukai automasi akan menggalakkan syarikat perladangan sawit menggunakan teknologi moden seperti dron dan kecerdasan buatan (AI), yang mampu meningkatkan produktiviti ladang dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Kenaikan gaji minimum adalah langkah yang positif yang akan meningkatkan pendapatan pekerja yang terlibat dalam rantaian industri sawit. Pengenalan automasi dan gaji yang lebih kompetitif berupaya memperkukuh daya saing industri sawit Malaysia secara keseluruhan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top