GEORGE TOWN – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar menyifatkan Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengutamakan keperluan rakyat meskipun dunia kini berdepan situasi ekonomi yang mencabar.
Kata beliau, ia terbukti bukan sahaja isu berkaitan gaji minimum dan peluang pekerjaan yang diberi perhatian tetapi juga program keselamatan sosial yang memerlukan kos tinggi.
Bagaimanpun, Nurul Izzah menegaskan, bagi memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi belanjawan tersebut harus diselaraskan dengan pelaksanaan reformasi secara menyeluruh.
“Sebagai contoh, program Anak Kita di bawah Kementerian Pendidikan yang diumumkan bulan lepas di mana lebih 3,000 sekolah telah berkolaborasi dengan organisasi masyarakat sivil bagi menangani masalah pelajar yang tercicir semasa pandemik.
“Jadi reformasi penting untuk memastikan memastikan kualiti pendidikan terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat ditingkatkan agar pelajar bukan sahaja lulus tetapi juga cemerlang dalam bidang tersebut,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan Belanjawan 2025 tidak memberi penekanan seimbang antara sektor pendidikan dengan pembangunan.
Terdahulu, Nurul Izzah menghadiri porgram edaran 10,000 Muruku dan 1,000 Teh Masala sempena Deepavali di Little India, Lebuh Pasar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, peruntukan kepada Kementerian Kesihatan turut menunjukkan komitmen kerajaan memperkukuhkan perbelanjaan kesihatan awam bukan sahaja segi perawatan tetapi juga pencegahan.
“Ini termasuk duti eksais minuman bergula yang mana nak tak nak you can’t run away from these things (pelaksanaan itu sebagai langkah pencegahan),” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Belanjawan 2025 dapat peruntukan RM421 bilion, terbesar dalam sejarah
Semalam. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan memperuntukan RM421 bilion atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Belanjawan 2025.
Jelas beliau, angka itu meningkat 3.3 peratus berbanding RM407.5 bilion yang diperuntukkan pada Belanjawan 2024 yang disemak semula.
Menurut Tinjauan Fiskal 2025 oleh Kementerian Kewangan, seperti biasa, tiga penerima utama belanjawan adalah Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan yang secara kolektif menyumbang 31 peratus daripada jumlah keseluruhan. – MalaysiaGazette