Belanjawan 2026 Perkasa Ekosistem dan Kesalinghubungan Komunikasi

Belanjawan 2026 Perkasa Ekosistem dan Kesalinghubungan Komunikasi


Kementerian Komunikasi akan terus memperkasakan ekosistem dan kesalinghubungan komunikasi susulan pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.

Kementerian berkenaan juga yakin belanjawan keempat Kerajaan MADANI itu dapat meningkatkan keterhubungan komunikasi, literasi digital serta mencambah hasil industri kreatif yang berkualiti.

“Kementerian Komunikasi menerima peruntukan keseluruhan hampir RM2.56 bilion daripada belanjawan kerajaan untuk tahun 2026 bagi memastikan rakyat menikmati infrastruktur komunikasi yang lebih baik, mengukuhkan nilai kenegaraan termasuk memperkasakan ekonomi jingga,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kementerian Komunikasi, peruntukan itu meliputi RM770 juta untuk pelaksanaan projek Point of Presence (PoP), RM110 juta dalam bentuk insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa bagi penghasilan karya berkualiti tinggi di Malaysia termasuk RM10 juta untuk penerbitan kandungan kenegaraan.

Sementara itu, RM10 juta lagi diperuntukkan dalam bentuk insentif penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa di negara ini bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Belanjawan 2026 akan merapatkan jurang digital dalam kalangan Masyarakat

Kata Kementerian Komunikasi, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memperuntukkan RM3.99 bilion dalam usaha memperluas jaringan infrastruktur telekomunikasi, memperkasakan usahawan desa dan memperkukuh kesiapsiagaan bencana.

Katanya, peruntukan itu merangkumi RM2 bilion bagi membangunkan Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) melibatkan laluan dasar laut dari Sedili, Johor; ke Kuching dan Sibu, Sarawak; seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau, Sabah.

Tambahnya, RM780 juta pula diperuntuk untuk projek Jalinan Digital Negara Fasa 2 (JENDELA 2) bagi peluasan ke 2,700 lokasi Baharu dan RM650 juta bagi meningkatkan ketersambungan Internet di hospital awam, klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik komuniti dan klinik desa.

“Sebanyak RM350 juta (diperuntuk) bagi tujuan memperkasakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang memanfaatkan usahawan desa untuk meningkatkan pendapatan.

“Dan RM210 juta untuk membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan krisis, sekali gus mengurangkan risiko kepada nyawa serta harta benda,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi berkata MCMC juga bakal membina Sovereign AI Cloud dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion serta menubuhkan AI Transformation Centre dengan kerjasama Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Centre of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta AI yang peka budaya.

“Kementerian Komunikasi yakin Belanjawan 2026 dapat meningkatkan lagi keterhubungan komunikasi, literasi digital serta mencambah hasil industri kreatif yang berkualiti,” katanya.

Fahmi Fadzil meninjau Pusat NADI

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam hantaran di media sosial menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai tindakan berani dengan hala tuju jelas.

Katanya, Kementerian Komunikasi amat berterima kasih kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kerana membentangkan belanjawan menyeluruh dan berpandangan jauh.

“Belanjawan kali ini bukan sahaja menangani cabaran semasa dan mengelak keterlanjuran, tetapi juga memastikan kemakmuran rakyat dan negara terus terpelihara.

“Alhamdulillah, kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap inisiatif yang dirancang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil menyifatkan peruntukan belanjawan kepada Kementerian Komunikasi dan MCMC adalah bukti iltizam kerajaan untuk mencapai hasrat Negara AI 2030.

Beliau berkata, peruntukan melibatkan PoP adalah lanjutan kepada projek meningkatkan liputan Internet di kawasan luar bandar yang turut diperkasakan menerusi JENDELA 2 dan SALAM. 

“Itu menunjukkan iltizam kerajaan mempertingkatkan liputan Internet kerana kita ada sasaran Negara Ai 2030,” katanya.

Siraj Jalil

Siraj berkata, peruntukan RM2 bilion untuk membina Sovereign AI Cloud pula amat relevan dalam ledakan teknologi AI bagi memastikan nilai kedaulatan maklumat kerajaan yang sulit dipelihara.

Katanya, Sovereign AI Cloud amat diperlukan bagi membolehkan semua kementerian dan agensi menggunakan teknnologi AI dalam urusan rasmi dengan selamat. 

“Data dan dokumen rasmi kerajaan bersifat sulit dan sensitif. Jika penjawat awam menggunakan generative AI seperti Chat GPT, dia telah menggadaikan nilai kedaulatan.

“Jika mereka gunakan Chat GPT, data kerajaan akan disimpan dalam Open Ai dan jika guna Gemini, data itu disimpan dalam Google Cloud.

“Ia satu kesalahan kerana data kerajaan sepatutnya berada dalam kawalan kerajaan. Kita pun ada akta-akta untuk lindungi maklumat sulit berkenaan.

“Mahu atau tidak, kita kena bangunkan satu infratsruktur (Sovereign AI Cloud) dalam negara kita, oleh tenaga tempatan kita sendiri demi menjaga kedaulatan data,” jelasnya.

Sementara itu, Siraj juga tertarik dengan usaha memperkasakan Pusat NADI dengan peruntukan lebih tinggi melibatkan pembangunan ekonomi, keusahawanan, kemahiran dan pendidikan.

“Usaha MCMC ini perlu kita hargai. Orang bandar mungkin tak terasa sangat tapi NADI memainkan peranan penting di luar bandar dalam aspek penyampaian maklumat secara fizikal.

“Orang boleh datang ke Pusat NADI untuk belajar membuat kandungan dan membuka perniagaan online seperti TikTok Shop,” katanya.






Source link

OR

Scroll to Top