Beli dan simpan petrol sebelum jual pada warga asing

Beli dan simpan petrol sebelum jual pada warga asing


KANGAR: Beli dan simpan petrol di sebuah setor di jeti di Kuala Perlis sebelum dijual kepada warga asing dengan keuntungan dua kali ganda.

Bagaimana tindakan licik lelaki berusia 32 tahun itu berjaya dikesan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis yang memberkasnya di sempadan Kuala Perlis semalam.

Lelaki berkenaan ditahan menerusi operasi dijalankan sekitar pukul 8 malam di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis, di sini.

Pengarahnya, Rohaida Hassan berkata, hasil pemeriksaan lanjut di jeti itu menemukan sebanyak 28 tong ‘Jerry Can’ berisi cecair dipercayai minyak petrol bersama sebuah motosikal jenis Honda Beat bernombor pendaftran tempatan yang digunakan untuk mengangkut bahan bakar itu.

“Semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat KPDN Perlis, di sini, hari ini.

Rohaida berkata, menerusi rampasan itu, dianggarkan sejumlah 840 liter petrol telah disita dengan nilai rampasan dianggar berjumlah RM1,932.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan kes itu termasuk melibatkan motosikal berkenaan dianggarkan berjumlah RM4,252.

“Serbuan dijalankan bagi kes ini merupakan hasil risikan yang telah dibuat selama dua minggu oleh anggota penguatkuasa KPDN Perlis,” katanya.

Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan polis malah siasatan juga dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan, boleh dikenakan tindakan di bawah akta sama.

“Sebagai rekod, jumlah kes yang disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi Januari tahun ini hingga semalam adalah sebanyak 18 kes dengan nilai sitaan sebanyak RM322,587,” katanya. -UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top