Belia perlu bijak, matang hadapi isu sensitiviti agama

Belia perlu bijak, matang hadapi isu sensitiviti agama


KUALA LUMPUR: Semua pihak khususnya golongan belia perlu bijak menghadapi isu sensitif khususnya melibatkan hal-hal agama.

Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Khairul Rizam Abu Samah berkata, dalam isu penghinaan terhadap al-Quran, setiap tindakan yang diambil akan menunjukkan kematangan pihak berkenaan, dalam masa yang sama dapat memelihara keharmonian sesebuah negara.

“Ramadan mendidik Islam tentang sabar dan hikmah.

“Kita tidak mahu emosi mengatasi rasional dan kita tidak mahu tindakan segelintir pihak merosakkan keharmonian yang telah lama kita bina bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sentuhan Ramadan: Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk, Sumbangan Cermin Mata Belia Sekolah, Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Madrasah Rajaiyah, Kampong Bharu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, negara dibina atas asas saling menghormati dan toleransi.

“Belia hari ini mesti menjadi jambatan, bukan jurang. Menjadi penyatu, bukan pemecah.

“Dengan dialog, kefahaman dan rasa hormat antara kaum serta agama, kita yakin keharmonian negara dapat terus dipertahankan,” katanya.

Seramai 200 orang sukarelawan belia bersama badan-badan gabungan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) berganding bahu memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat di Kampung Bharu di sini.

Program anjuran MBWP itu membuktikan anak muda dengan latar yang berbeza namun bersatu dalam satu tujuan  yang menunjukkan wajah sebenar belia Malaysia.

Lebih bermakna, MBWP turut menyampaikan sumbangan cermin mata kepada 30 orang remaja sekolah berusia antara 15 hingga 17 tahun di sekitar Parlimen Titiwangsa.

Katanya, mungkin bagi sesetengah pihak ia hanyalah sepasang cermin mata namun bagi mereka ia adalah jendela baharu untuk melihat masa depan lebih jelas agar dapat membaca dengan lebih yakin dan fokus serta mengejar cita-cita tanpa batasan penglihatan.

“Hari ini juga kita menganjurkan tadarus Ramadan yang disertai oleh 50 orang belia. Inilah keseimbangan yang kita dambakan.

“Belia yang aktif berbakti kepada masyarakat dan pada masa yang sama akrab dengan Al-Quran serta nilai-nilai murni. Jiwa yang kuat lahir daripada rohani yang terisi dan dipandu wahyu,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top