LIVERPOOL disifatkan sebagai pasukan terbaik di Eropah buat masa ini selepas membenam Real Madrid 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Anfield pada Khamis.
Pemain tengah Real, Jude Bellingham berkata, Liverpool lebih bersedia dalam perlawanan tersebut dan membuktikan The Reds lebih layak untuk menang.
“Seawal minit pertama mereka telah mengawal permainan. Saya hanya fikir mereka lebih bersedia daripada kami, sejujurnya ia amat mengecewakan.
“Ia adalah keputusan yang buruk menentang pasukan terbaik di Eropah. Tidak memalukan untuk datang ke sini dan kalah, tetapi kami kecewa dengan prestasi kami.
“Kami mempunyai baki tiga perlawanan dalam kumpulan dan penting untuk kami cuba memenangi kesemuanya sekali gus cuba layak ke pusingan seterusnya,” katanya.
Juara 15 kali Liga Juara-Juara itu berada di kedudukan ke-24 daripada 36 pasukan dengan baki tiga perlawanan fasa liga dan berdepan risiko gagal ke peringkat kalah mati.
Sebaliknya, Liverpool berada di tangga teratas dengan 15 mata maksimum daripada lima perlawanan mereka selain turut cemerlang dalam aksi domestik dengan lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris.
Dalam perlawanan itu juga, penyerang Real, Kylian Mbappe turut mendapat perhatian kerana gagal menyempurnakan penalti sekali gus memberikan kesan besar kepada pasukan.
“Dia seorang pemain yang hebat tetapi tekanan yang dipegangnya sangat tinggi. Penalti bukanlah sebab kami tewas dalam perlawanan itu.
“Sebagai kolektif, kami tidak cukup bagus pada malam ini. Mereka beraksi lebih baik daripada kami dan ia semudah itu.
“Kylian tidak seharusnya kecewa dan saya yakin dia mampu mencipta sesuatu yang istimewa nanti,” katanya.