Bellingham risau kualiti padang venue Piala Dunia 2026

Bellingham risau kualiti padang venue Piala Dunia 2026


PEMAIN tengah Real Madrid, Jude Bellingham, menyuarakan kritikan terhadap kualiti padang di Piala Dunia Kelab, kurang daripada 12 bulan sebelum Piala Dunia 2026 berlangsung di Kanada, Mexico, dan Amerika Syarikat.

Ini susulan kemenangan 3-1 gergasi La Liga Sepanyol berkenaan ke atas kelab dari Mexico, Pachuca dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Kelab di Stadium Bank of America, Charlotte, North Carolina.

“Kualiti padang tidak begitu baik. Ia melambatkan pergerakan bola, dan bola hampir tidak melantun.

“Ia juga memberi tekanan kepada lutut. Harap ada pihak yang akan melihat perkara ini menjelang Piala Dunia tahun depan,” kata pemain tengah England itu.

Lima daripada tempat kejohanan tahun ini – Stadium Mercedes-Benz, Stadium Hard Rock, Stadium MetLife, Lincoln Financial Field, dan Lumen Field juga akan menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia 2026.

Kesemua lima stadium ini digunakan oleh pasukan Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL) dan lazimnya mempunyai permukaan rumput tiruan, tetapi rumput sebenar akan dipasang menjelang Piala Dunia bagi memenuhi syarat-syarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Piala Dunia Kelab edisi sulung ini bukan kali pertama standard padang di AS menimbulkan masalah.

Pemain-pemain turut mengkritik keadaan padang semasa Copa America musim panas lalu, dengan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, menyifatkan padang di Stadium Mercedes-Benz sebagai ‘bencana’ selepas kemenangan ke atas Kanada.

Penganjur kejohanan, Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol), mempertahankan padang-padang tersebut, apabila pengarah pertandingan Fredirico Nantes menyatakan bahawa rumput di Atlanta sama sekali tidak menimbulkan ancaman.

Stadium Mercedes-Benz akan menjadi tuan rumah lapan perlawanan Piala Dunia musim panas depan, termasuk salah satu perlawanan separuh akhir.

Keadaan padang adalah kebimbangan terbaharu yang dibangkitkan pada Piala Dunia Kelab.

Selain itu, terdapat juga kebimbangan mengenai cuaca sepanjang kejohanan, dengan haba melampau menyebabkan masalah kepada para pemain.

Pemain gantian Borussia Dortmund menonton separuh masa pertama kemenangan ke atas Mamelodi Sundowns dari bilik persalinan kerana suhu yang tinggi, dengan pengendali mereka Niko Kovac menyifatkan keadaan itu seperti sauna.



Source link

OR

Scroll to Top